Jangan terkejut jika anda berada di Bandung melihat kelibat penjual wanita bertudung maksa bakso goreng babi.
Itu keadaan yang memang wujud di Indonesia terutamanya di sekitar Pulau Jawa apabila individu dipercayai Muslim selamba menjual dan menyentuh daging babi.
Perkongsian video oleh pengembara Dale Philip di Facebook mengenai bebola daging babi goreng di Bandung menarik perhatian warganet.l
Menerusi video berdurasi hampir 8 minit itu, Philip memesan bakso goreng babi atau dipanggil ‘basreng’ di Jawa cuma bezanya dagingnya itu daripada makanan yang haram di sisi Islam.
Wanita bertudung berkenaan sedang menggoreng bakso babi dan memberitahu Philip bebola itu dijual lima biji ialah 25,000 Rupiah bersamaan RM7.50.
Saiz bebola daging babi itu agak besar dan dilihat dihidang bersama pencecah sos.
Susulan itu, rata-rata masyarakat beragama Islam di Malaysia terkejut dengan adanya wanita bertudung mengendalikan masakan daging haram.
Seorang pengguna Facebook, Ahmad Akhbar Omar berkata, dia sendiri bimbang untuk menjamah makanan ketika berada di Indonesia.
Kebimbangan sama, ujarnya, muncul di premis makanan di Malaysia yang pekerjanya terdiri daripada warga Indonesia.
“Mereka ni kadang-kadang pakai macam orang Islam tapi sebenarnya bukan Islam. Pakai begitu hanya sebagai tarikan untuk pelanggan Muslim.
“Saya kalau di luar negara cari tempat makan yang dekat masjid, dan pastikan mereka betul-betul Islam,” katanya lagi.
Rupanya di Malaysia pun terutama restoran dan gerai sekitar Lembah Klang memang sudah ada pekerja bertudung masak babi di restoran.
“Dekat Subang Jaya (Selangor), makcik Indonesia masak mi babi di kedai tapi dia pakai tudung,” kata seorang warganet.
Sehubungan itu, ada yang mengingatkan supaya pekerja tidak berpakaian seperti seorang Muslim sekiranya tidak beragama Islam bagi mengelakkan kekeliruan pengguna.