Kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella sejak 14 Disember lalu telah menjadi tumpuan rakyat Malaysia.
Setelah lebih sebulan tidak dapat dilacak, kes ini dijangka akan terungkai selepas pihak polis menemui satu rangka manusia yang tidak sempurna
Di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Johor pada Jumaat lalu (19 Januari 2024).
Penemuan rangka ini berjaya dilakukan setelah salah seorang suspek yang ditahan berkaitan dengan kehilangan Bella membawa polis ke lokasi tersebut.
Namun begitu, hingga kini pihak polis masih menunggu laporan untuk mengesahkan bahawa rangka tersebut benar-benar milik Bella. Pengesahan ini dijangka dapat diperoleh dalam masa dua minggu. Untuk mendapatkan kronologi penuh kes ini, sila baca di bawah ini:
14 Disember 2023
Kehilangan Bella bermula apabila dia dikatakan telah keluar rumah pada jam 11.50 malam dengan memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk ke dobi bersama teman lelakinya.
Pun begitu, mereka disyaki tidak ke kedai dobi apabila rakaman CCTV di premis tersebut tak menunjukkan kelibat Bella dan teman lelakinya.
15 Disember 2023
Keesokan harinya kakak Bella telah cuba menghubunginya melalui WhatsApp namun gagal malah mesej yang dihantar juga hanya menunjukkan satu tanda. Tak cukup dengan itu, pakaian yang di dalam bakul yang sepatutnya dibawa untuk ke kedai dobi juga masih berada di dalam rumah Bella.
Selepas memeriksa CCTV di rumah jiran Bella, mereka mendapati teman lelakinya sedang mengangkat bakul berisi baju ke dalam rumah. Aplikasi penjejak pula menunjukkan lokasi terakhir wanita ini adalah di hadapan rumahnya.
Tapi mereka tak dapat pastikan ketika itu Bella ada di dalam kereta milik teman lelakinya itu atau hanya telefonnya sahaja yang ada bersama kekasihnya.
Diberitahu, Bella telah diturunkan di hadapan sebuah kedai tom yam gara-gara bergaduh dengan teman lelakinya.
16 Disember 2023
Laporan polis pertama mengenai kehilangan Bella telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
18 Disember 2023
Laporan polis kedua mengenai kehilangan Bella dibuat oleh ahli keluarganya di IPD Batu Pahat.
27 Disember 2023
Pihak polis telah memanggil lima individu bagi membantu siasatan kes kehilangan Bella.
28 Disember 2023
Polis telah menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan kehilangan Bella.
29 Disember 2023
Pihak polis meneruskan siasatan walaupun penahanan teman lelaki wanita ini masih tak berjaya merungkai misteri kehilangan Bella.
30 Disember 2023
Teman lelaki Bella yang ditahan reman bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak polis memberitahu lelaki tersebut akan dipanggil semula jika perlu membantu berhubungan kehilangan Bella.
8 Januari 2024
Satu mayat seorang wanita bogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibunuh dengan kejam telah ditemui di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka. Namun polis mengesahkan mayat tersebut bukan milik ibu tunggal, Bella.
10 Januari 2024
Ketua Polis Johor, bahawa dua lagi individu telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik. Selain itu, beliau percaya Bella masih berada di dalam negeri.
Buat masa ini kita masih lagi membuat siasatan dan ada perkembangan yang saya ‘reserve’ (rahsia) dulu (namun) saya sahkan ada dua tangkapan dan kita telah reman mereka ini.
“Saya tak boleh beritahu (secara terperinci) kerana kalau dedahkan mungkin sensitif sebab siasatan sedang berjalan, nanti orang nak bawa keluar Bella pun tak jadi bawa keluar.”
19 Januari 2024
Satu rangka tidak sempurna telah ditemui di dalam sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah selepas salah seorang suspek yang ditahan membawa pihak polis ke sana.
Menurut info dari netizen, teman lelaki Bella yang baru sahaja pulang dari menunaikan umrah telah ‘disoal siasat’ sekali lagi oleh pihak polis sebelum lelaki ini membawa pihak polis ke lokasi penemuan rangka tersebut.
20 Januari 2024
Kakak Bella mengatakan cebisan kain yang ditemui berhampiran rangka yang ditemui itu mungkin pakaian yang sama dipakai oleh Bella pada malam kehilangannya itu.
Manakala penduduk berdekatan mengatakan mereka tidak mencium sebarang bau mayat sebelum ini dan mereka percaya wanita ini tak dibunuh di sana.
Bedah siasat ke atas rangka yang ditemui juga sudah selesai dijalankan dan masih menunggu sampel patologi dianalisa.
21 Januari 2024
Polis Johor akan memohon keputusan ujian DNA ke atas sampel rangka manusia itu dipercepatkan bagi merungkaikan sama ada tulang itu milik Bella atau individu lain.
Selain itu, kakak Bella meluahkan rasa terkilan di Facebook serta mempersoalkan siasatan polis ke atas kes kehilangan adiknya ini.