Seorang Ketua Polis Balai yang didakwa melakukan kekerasan terhadap orang awam baru-baru ini telah dipindahkan ke jabatan lain.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata langkah itu diambil
sementara menunggu hasil siasatan dalaman yang dilakukan oleh pihaknya.
“Ketua Polis Balai berkenaan telah dipindahkan ke satu jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sementara siasatan dijalankan.
Jabatan itu juga tidak memerlukan individu itu berurusan dengan awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan selesai.
Jumaat lepas, Kamarul Zaman berkata polis menyiasat dakwaan bahawa seorang Ketua Polis Balai melakukan kekerasan terhadap orang awam seperti dipaparkan video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Video berdurasi 37 saat itu memaparkan individu didakwa Ketua Polis Balai menengking dan menampar berulang kali serta menarik rambut seorang lelaki di tempat awam yang tidak dinyatakan.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
BACA: 8 sebab kenapa anak lelaki bongsu dalam keluarga calon terbaik sebagai suami