Pasangan selebriti popular, Diana Danielle dan Farid Kamil kembali mencuri tumpuan ramai selepas menikmati mi kari dari sebuah restoran di ibu kota.
Mana tidaknya, restoran mi kari dikunjungi mereka yang terletak di Balakong atau Cheras Selatan, Hulu Langat, Selangor itu dikatakan diragui status dan sijil halalnya.
Tidak hanya menikmati pelbagai makanan yang dihidangkan di restoran berkenaan,
Diana Danielle turut mempromosikan premis itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform tersebut, bintang filem Imaginur itu mengakui menghubungi cawangan utama untuk bertanya mengenai status halal.
Pasangan itu kemudian dinasihatkan untuk mengunjungi cawangan yang terletak di Balakong memandangkan premis berkenaan lebih ‘mesra’ buat pelanggan Muslim.
“Mangkuk Mi Kari yang terbesar di Malaysia. Mana tak gempal kalau masing-masing layan selera. Sebelum kami pergi, saya telah menghubungi cawangan utama dahulu.
“Mereka cadangkan untuk kami berkunjung ke cawangan Balakong memandangkan premis itu lebih ‘mesra’ Muslim kerana hanya menghidangkan menu makanan laut.
“Sekiranya ada pertanyaan lebih lanjut, boleh menghubungi restoran terlebih dahulu,” tulis Diana memberi penjelasan selepas hantaran tersebut ‘diserbu’ oleh peminat.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial menyelar tindakan pasangan itu kerana mengunjungi restoran yang diragui status halalnya.
Ramai juga tidak bersetuju dengan perbuatan Diana berkongsi nama dan juga lokasi premis di Instagram kerana ia boleh menarik minat orang ramai untuk pergi ke sana.
“Mencari yang halal itu fardhu. Apabila orang yang berpengaruh mula makan di situ, jadi orang ramai pasti akan mula ikut,” nasihat seorang peminat yang prihatin.
“Mesra Muslim tidak menjamin makanannya halal. Niat saya hanya menegur sesama umat Islam. Kedai ini tak halal, dekat dengan rumah saya.” Kongsi pengikut lain.
Diharapkan Diana Danielle lebih berhati-hati sebelum membuat perkongsian selepas ini kerana statusnya sebagai selebriti mampu memberi pengaruh besar sama ada dari segi positif atau negatif.
Baca juga:Penipuan berbilion RM setiap tahun, industri insuran kereta perlu dikaji kembali