Air adalah satu elemen penting yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita.
Menurut kajian, seorang manusia dewasa boleh hidup sehingga tiga minggu tanpa mengambil sebarang makanan tetapi tanpa air,
kita hanya mampu bertahan di antara tiga hingga lima hari sahaja secara purata.
Bercakap mengenai air, pernah tak korang terfikir, kenapa biasanya air sejuk rasa lebih ‘sedap’ berbanding air suam atau panas?
Tak kiralah sama ada air mineral, kopi, jus atau apa sahaja air, ia lebih sedap diminum sejuk berbanding suam atau panas.
Walaupun mempunyai rasa yang sama, kita sering memilih air sejuk. Jadi apa sebenarnya yang menyebabkan ia berlaku? Mengapa air sejuk kerap menjadi pilihan?
Air Sejuk Sebenarnya ‘Kurang Rasa’
Kecuali air mineral atau air masak, deria rasa mempunyai tindak balas yang lebih kecil pada air sejuk. Ini bermakna, sekiranya air itu terlalu manis atau pahit, ia masih lagi berasa sedap untuk diminum.
Ia berbeza dengan air suam atau panas. Jika difikirkan kembali, kopi tarik biasanya berasa lebih pahit dan likat. Begitu juga dengan air limau yang rasa masamnya lebih kuat ketika dihidang suam berbanding sejuk.
Faktor Psikologi Semata-Mata
Salah satu lagi punca yang dipersetujui ramai pengkaji ialah ia hanyalah faktor psikologi semata-mata. Menurut satu kajian yang telah dijalankan di Yale School of Medicine mendapati, meminum air lebih kepada menghilangkan haus berbanding menghidrasi melalui tiub nasogastric.
Dalam satu contoh mudah, jumlah air yang sama banyak boleh ‘dipam masuk’ ke dalam tubuh dua lelaki berbeza, namun lelaki yang meminumnya akan berasa lebih terhidrat berbanding lelaki yang memasukkan air secara terus melalui tiub ke dalam badan.
Kajian ini juga membuktikan bahawa kadar suhu air yang kita minum juga akan mempengaruhi. Apabila air sejuk memasuki ruang mulut dan tekak, sel otak akan bertindak balas dengan ‘mengatakan’ ia adalah lebih memuaskan, berbanding semasa kita meneguk air suam atau panas.
Air Suam Lebih Sihat Berbanding Air Sejuk?
Walaubagaimanapun, ada di kalangan kita yang lebih memilih untuk meminum air suam berbanding air sejuk atas alasan, ia didakwa minuman yang lebih sihat. Dakwaan itu tidak benar dan tidak juga salah.
Ini kerana air sejuk dan air suam atau panas ada kelebihan yang tersendiri. Antara kebaikan yang diperolehi jika kita meminum air panas ialah:
dapat membantu dalam melegakan hidung tersumbat
boleh membantu meransang pencernaan
memperbaiki peredaran darah
Akan tetapi kita juga tidak digalakkan untuk minum air panas selepas bersenam.
Ini kerana suhu badan yang sedia tinggi akibat bersenam akan semakin meningkat jika kita meminum air panas sekaligus boleh mendatangkan mudarat kepada kita.
Manakala antara faedah yang boleh korang dapat jika meminum air sejuk pula ialah:
dapat menstabilkan kembali suhu badan selepas bersenam
meransang metabolisme seterusnya membantu menurunkan berat badan
meminimumkan risiko untuk terkena strok haba
Namun, elakkan untuk meminum air sejuk sejurus selepas makan.
Jika kita melakukannya, badan kita akan memerlukan lebih banyak tenaga serta melambatkan proses untuk menghadam makanan. Ia juga boleh mengakibatkan rasa senak.
Secara ringkasnya, tiada masalah untuk korang minum air sejuk, air suam atau air panas asalkan kena pada masanya.
Apa yang penting, kurangkan meminum air manis dan air berkabonat serta elakkan daripada meminum minuman beralkohol.