Pada tahun 2022, Johor mengalami krisis apabila pengerusi BN negeri ketika itu, Hasni Mohammad, tidak dibenarkan untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua,
Walaupun beliau berjaya memimpin gabungan dengan majoriti besar dalam pilihan raya negeri.
Semasa itu, media melaporkan bahawa pelantikannya dihalang oleh ‘kuasa lebih tinggi’, walaupun sebab di sebalik perkara tersebut tidak pernah dijelaskan.
Dalam satu wawancara bersama The Strait Times Singapura yang diterbitkan hari ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mendedahkan bahawa beliau menolak pencalonan Hasni bagi menegakkan kuasanya sebagai ketua negeri.
“Mereka membuat kesilapan. Hasni telah dijadikan ‘poster boy’, dan semua wakil rakyat BN menandatangani deklarasi untuk menyokongnya.
“Jadi, anda ingin menekan saya (push me to the wall)? Dalam perlembagaan kami (Johor), satu-satunya individu yang boleh membuat keputusan melantik menteri besar adalah sultan.
“Sebab itulah saya menukarnya (pelantikan) dan mengejutkan semua pihak,” menurut Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim kemudian melantik Adun Machap Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar.
Beliau akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong dan akan mengangkat sumpah pada 31 Januari depan.
Dalam wawancara tersebut, Sultan Ibrahim menyatakan bahawa beliau tidak mahu menjadi ‘raja boneka’ semata-mata dan akan menggunakan sepenuhnya pengaruhnya sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk “memperbetulkan keadaan”.
Ini termasuk memastikan semua ahli parlimen sentiasa dipantau, dengan menyatakan bahawa beliau berada di pihak rakyat dan bukan ahli politik.
Selain itu, Sultan Ibrahim juga menyatakan bahawa beliau akan bersikap tegas dalam hubungannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Apabila saya kata tidak mahu berjumpa anda, itu sudah menjadi persoalan besar kenapa.
“Dan saya ada pasukan media sosial sendiri. Apa yang saya beritahu perdana menteri, saya pastikan ia keluar – seluruh negara akan mengetahuinya.
“Sama ada dia bekerja rapat bersama saya atau keadaan akan menjadi sukar,” titah Sultan Ibrahim.
Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim menyatakan sokongan kepada Anwar, yang menurutnya ada kala menghubunginya, “malah di tengah malam, untuk meminta nasihat”.
Beliau juga berkata Anwar patut diberi peluang membuktikan kemampuannya dan terdapat menteri yang baik dalam kerajaan, antaranya Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Saya akan menyokong kerajaan, tetapi jika saya fikir mereka melakukan sesuatu yang tidak betul, saya akan beritahu mereka,” titah Sultan Ibrahim.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio