Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku faham Annur. Sebab aku duduk dalam situasi itu.
Tapi kisah aku mungkin lagi sadis. Mak kandung aku sendiri kaki drama.
Aku ada 7 adik beradik. 4 perempuan 3 lelaki. Aku anak nombor 3 dengan di atas aku ada 2 abang.
Jarak umur aku dan adik adik aku sangat jauh. Aku sudah berusia sebelas tahun (darjah 5) baharu aku dapat adik.
Jadi aku membesar dengan mak aku dalam keadaan aku sudah remaja dengan adik adik yang masih kecil.
Aku yang jaga adik adik aku. Mak aku surirumah dan ayah aku bekerja pejabat. Kehidupan kami sederhana.
Aku buat semua kerja rumah sebab tiada pembantu rumah.
Apabila aku di Universiti, mak aku selalu telefon aku. Hari hari mak aku telefon aku bercerita buruk tentang abang abang dan adik adik aku.
Sambil mak aku menangis nangis sedih:
1) Kisah Abang Long aku nak kahwin dengan perempuan kampung.
2) Kisah isteri Abang Ngah aku yang suka kikis duit Abang Ngah aku dan paksa Abang Ngah aku ambil insurans nyawa sampai RM2 Juta tapi letak nama isteri, tak letak nama mak aku.
3) Kisah adik lelaki aku masuk Penjara Kajang.
4) Kisah adik perempuan aku nakkan lelaki ada keturunan India.
Menangis nangis mak aku telefon aku bercerita. Sedih sangat mak aku.
Tapi aku tutup mulut segala cerita buruk adik beradik dari mak aku. Aku tetap menegur dan beramah mesra dengan adik beradik dan ipar ipar aku setiap kali pulang ke kampung berhari-raya.
Aku tak pernah tuduh adik beradik aku “KAU BUAT MAK AKU MENANGIS”. Aku simpan rapat semua cerita buruk dan tangisan mak aku sebab aku hendak menjaga rumahtangga abang abang aku. Aku nak jaga hubungan adik beradik aku.
Tahun lepas adik adik aku konon menuduh aku buat mak aku menangis. Aku diserang dalam group whatsapp family yang isunya ditimbulkan oleh adik lelaki aku yang pernah dipenjarakan itu.
Aku tak tahu apa mak aku mereka reka cerita buruk tentang aku pada adik adik aku. Adik aku remove aku dari group family sebab mulut mak aku yang tak tahu sedih sebab apa.
Aku tak ada menyakitkan hati mak aku. Aku tak tahu apa apa kenapa semua adik adik aku marah aku. Mulanya aku sedih. Kemudian aku rasa hidup aku dan suami semakin aman damai.
Aku rasa hidup aku aman apabila aku tidak lagi berada di dalam group family aku. Aku tak baca lagi benda benda toksik yang adik lelaki aku selalu upload.
Adik aku add aku semula dalam group whatsapp family, aku left group dan minta maaf kata jangan add aku lagi dalam group sebab aku penat dihina oleh adik adik aku.
Aku mula block nombor handphone mak aku di whatsapp dan call. Aku hanya unblock bila aku mahu call mak aku seminggu sekali bertanya khabar.
Buat alasan aku tengah drive tak boleh cakap lama atau tengah mesyuarat dan teringat mak aku dan sekadar bertanya khabar.
Sejujurnya, aku penat dengan perangai mak aku. Aku mahu hidup aman. Walaupun aku hanya ada suami dan keluarga mertua sahaja kini yang menjadi tempat aku menumpang kasih.
Sekarang adik adik aku bercakaran antara satu sama lain. Semua sebab mulut mak aku.
Dengan anak A, mak aku menangis nangis cerita buruk hal anak B.
Dengan anak B, mak aku menangis nangis cerita buruk tentang anak A.
Ada seorang adik lelaki aku suka sangat guna ayat “KAU BUAT MAK AKU MENANGIS”.
Padehal adik lelaki aku itulah yang paling banyak buat mak aku menangis semasa dia selalu ditangkap polis dan masuk Penjara Kajang selama dua tahun.
Aku dan abang abang aku sudah banyak kali beri duit berpuluh ribu ringgit pada mak ayah aku untuk bayar peguam untuk adik lelaki aku itu di Mahkamah.
Tapi aku tak pernah serang adik adik aku dengan ayat “KAU BUAT MAK AKU MENANGIS”, walaupun aku lagi banyak dengar cerita buruk mereka dari mulut mak aku yang menangis hari hari bercerita tentang buruk anak anaknya yang lain pada aku.
Aku tetap ramah menegur adik beradik aku. Aku tetap hormat pada isteri abang abang aku walaupun berbaldi baldi airmata mak aku menangis semasa memburukkan menantu dan anak anak lain pada aku dulu.
Kepada Annur.. Aku sangat faham situasi itu. Tetapi percayalah, demi menyelamatkan rumahtangga, Annur dan suami perlu menjauhkan diri dari mak mertua itu.
Rumahtangga dua adik perempuan aku hancur disebabkan mulut mak kandung aku yang memburukkan suami adik adik perempuan aku pada anak anak yang lain.
Untung suami aku jenis telinga tebal, mak aku mengata apa pun suami aku tetap senyum sabar melayan karenah dan airmata mak aku.
Pernah suami aku makan malam sendirian dengan anak anak aku sebab aku menjawab panggilan telefon mak aku menangis memburukkan adik perempuan aku.
Pernah sampai suami aku suap aku makan semasa aku melayan tangisan mak aku di telefon memburukkan kakak kakak ipar aku.
Kepada semua pembaca, andainya kalian seorang ibu, janganlah sesekali memburukkan seorang anak kepada anak yang lain.
Jika anda ada masalah dengan anak A, pergilah meluah kesedihan anda pada anak A sahaja.
Menangislah dengan anak A itu sahaja. Jangan dijaja buruk anak A itu pada anak anak yang lain. Sedang anak A itu tidak tahu apa kesalahannya kepada anda ibu kandungnya.
Percayalah, penerimaan setiap anak itu tidak sama.
Jika ada anak seperti aku yang boleh menelan segala cerita buruk dari mak kandung sendiri, Yang boleh bersabar berjam jam melayan mak aku menangis hingga terganggu kerja aku di pejabat, demi aku menjaga rumahtangga adik beradik lain, demi aku menjaga silaturrahim antara adik beradik dan ipar duai.
Percayalah.. pasti ada anak seperti adik lelaki aku yang suka berkata “KAU BUAT MAK AKU MENANGIS”.
Kemudian ditambah dengan ayat mengguris hati KAU PEREMPUAN TAKDE MARUAH. KAU ABANG TAK GUNA TAKUT BINI. KAU ANAK CELAKA. KAU ABANG DAYUS.
Adik beradik berpecah belah dan bercakaran. Puncanya dari mulut seorang Mak Kandung yang suka bercerita sana sini keburukan anak anak sendiri.
Anak anak tetap sayangkan seorang ibu kandung. Dipanggil balik, maka berlari anak balik kepada ibu.
Tetapi demi menjaga silaturrahim antara anak anak selepas ibu itu sudah tiada. Jangan sesekali diburukkan seorang anak kepada anak yang lain.
Jangan seorang Ibu Kandung bercerita buruk hal seorang anak di hadapan anak anak yang lain hanya kerana anak yang diburukkan itu tiada di situ.
Kesan buruk aku sudah lihat dari pandangan kehidupan aku yang aman jauh dari ibuku dan adik beradik aku.
Aku lihat adik beradik aku berpecah belah dan bercakaran satu sama lain. Keadaan takkan kembali sama seperti dahulu. Aku tidak mampu membetulkan keadaan.
Abang abang aku sudah menjauhkan diri dari mak aku dan adik adik aku. Aku juga sudah menjauhkan diri dari mak aku dan adik adik aku.
Aku sedih melihat adik adik aku menyindir satu sama lain di media social. Bergaduh tanpa henti dalam group whatsapp family, sehingga aku merasa hidup aku aman apabila aku tidak lagi berada di dalam group family itu.
Kerana aku tahu puncanya dari mulut mak aku yang suka berdrama dengan airmata memburukkan anak anak yang lain.
Jadikanlah kisah keluarga aku ini iktibar. Aku sedang berusaha keras untuk tidak menjadi perempuan yang berperangai seperti mak kandung aku kepada anak anak aku.
Doakan aku.
Reaksi Warganet
Shamsuria Abdullah –
Memang ada mak atau mertua suka jaja keburukan anak dan menantu sendiri. Ramai dah jumpa.
Betul dah tindakan tt ni, keluar dari ws group, block. Hidup aman damai je.
Mental sendiri kene jaga dulu, tak pasal nanti nak kene jumpa psycihiatrist plak.
Jaga mental diri sendiri lagi penting daripada nak jaga perasaan family toksik macam tu. Syabas!
Takde istilah bukak aib mak dekat sini, sebab tt takde mention nama mak, alamat rumah, no fon, dll. Semua tu rahsia. Bukannye bukak aib..hmmm
CyQno AazaH Aziz –
Orang kaki drama ni memang dia la terpaling viictim, kena buang lah, kena pulaukan lah, kena aniaya lah.
Semua orang pun dia kata tak suka dia, yang paling bdoh adalah…the other parties yang taktau hujung pangkal lepas tu percaya bulat bulat si kaki drama ni, pastu dia pun sama tetiba taknak kawan dengan kita.
Aaa elok, kita memang tak perlu orang toksik macam ni dalam hidup demi kemaslahatan mental dan fizikal kita.
Jangan pandang belakang, jalan terus. Semoga bertemu buku dengan ruas satu hari nanti. Nak wish good luck masa interview dekat akhirat je
Puan Risa Yusof –
Teringat kenangan pakcik saya potongkan kuku aruwah nenek saya. Mase tu dia cuti dia akan layan berborak dengan aruwah nenek.
Mase ni saya ade la dengar sikit sikit yang aruwah ni mengadu bekenaan ucu saya yang agak garang dengan arwah nenek.
Nenek konon konon nak suruh pakcik ni marahkan adiknya si ucu ni. Jadi saya dengar pakcik kata ye nanti dia akan marahkan ucu.
Nampak senyum kat bibir aruwah nenek mase tu. Tapi bila ucu saya balik takde pulak pakcik saya marah atau tegur ucu saya.
Bila saya tanya mak saya, mak saya tesenyum jugak. Dah besar barulah saya faham yang nenek memang jenis suka mengadu ngadu ni.
Tapi anak anaknya matang dan faham itu sekadar mengadu meluah perasaan.
Ucu saya walaupon garang tapi dia la setia jaga aruwah nenek masa bujang.
Setiap anak ade lebih dan kurang. Dalam adik beradik kene ada rasa hormat biarpun ada yang lebih atau yang kurang.
Jangan terus terus marah tanpa tanya apa sebenarnya terjadi.
Nurul Syafiqa –
Pernah ada pengalaman. Cuba tanya mak baik baik, kenapa dia buat macam tu.
Sebab ada mak yang macam ni kata “mak buat macam tu supaya jadi pengajaran, adik beradik yang lain jangan ikut perangai macam ni”.
Nasihat mak baik baikk, kadang kadang dia sunyi, nak bercerita, nak meluah saja. Tak sangka boleh jadi gaduh.
Cakap je dengan mak, mak jangan cerita buruk buruk yang lain ya, Allah tak suka. Nanti boleh jadi gaduh kami adik beradik, mak pun tak suka. Kita borak yang happy je. Sabar banyak banyak.
Nur Hidayah –
Tabiat baik atau buruk di usia tua biasanya bukan dah tua baru jadi perangai tu tak kira la perangai macam mana pun maybe sebab dah lama terbiasa dengan perangai tu jadi terbawaklah sampai ke tua.
Bila dah tua bangka ni biasanya memang takkan berubah dah perangai tu.
Jadi peringatan untuk kita yang bakal menginjak ke usia tua termasuklah diri sendiri pereloklah perangai yang buruk sebelum sampai masa tua. Nanti dah tak boleh ubah sebab dah jadi tabiat
Bila tak buat dia jadi tak boleh duduk. Bila buat baru dia rasa puas. Kalau tabiat orang tua tu buruk, itu ujian buat orang orang sekeliling dia
Nak taknak kena la pikir cara terbaik nak handle orang tua yang perangai gitu supaya tak jadi mudharat pada orang sekeliling.