Bukan Proton dan Perodua je kereta jenama tempatan ada dalam Malaysia, sebenarnya ada banyak lagi

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Apabila kita membicarakan mengenai kereta tempatan atau kereta nasional, pasti semua orang akan teringat kepada jenama PROTON dan PERODUA, bukan?

Ini kerana kedua-dua jenama ini merupakan pendorong utama dalam pengeluaran kereta tempatan yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Kereta import pula, harganya memang mahal.

Bukan Proton dan Perodua je kereta jenama tempatan ada dalam Malaysia, sebenarnya ada banyak lagi

Tetapi tahukah anda bahawa terdapat jenama kereta tempatan lain selain PROTON dan PERODUA?

Jika dimasukkan kedua-dua jenama utama tersebut, kita sebenarnya mempunyai jumlah 5 jenama kereta tempatan!

Mungkin ramai yang sudah tahu, tetapi pastinya masih banyak yang belum mengetahui mengenai perkara ini. Mari kita kenali semua jenama kereta tempatan yang ada.

PROTON, jenama yang paling berpengalaman dalam industri automotif tempatan

Siapa yang tidak kenal PROTON, kereta nasional pertama Malaysia. Pada tahun 1985, PROTON Saga, kereta tempatan pertama, dilancarkan dan menjadi tonggak dalam sejarah automotif negara kita. Walaupun tidak sepenuhnya direka di Malaysia, Saga diilhamkan oleh kereta Mitsubishi Lancer Fiore dari Jepun.

Pada awal kemunculan mereka, PROTON banyak belajar dari Mitsubishi. Asas teknologi PROTON pada masa itu berpaksikan kepada teknologi Jepun, suatu perkara yang luar biasa! Kini, kebanyakan kereta PROTON mengambil teknologi daripada China, iaitu Geely.

Namun, penggunaan teknologi dari China tidak bermakna kurang berkualiti. Sebaliknya, model-model terkini seperti Saga (2019), X70, dan X50 mendapat sambutan yang menggalakkan. Dan ini belum termasuk teknologi terkini yang mereka perolehi.

PERODUA, adik yang lebih diminati?

PERODUA, sebagai kereta nasional kedua, memberikan pilihan yang berbeza kepada rakyat Malaysia. Pasaran kereta tempatan tidak terikat hanya pada PROTON, jadi bagi sesiapa yang kurang selesa dengan PROTON, boleh mencuba produk-produk PERODUA.

PERODUA boleh dikatakan sebagai salah satu jenama yang paling diminati di Malaysia, terutamanya kereta Myvi mereka yang dijolok sebagai King of the Road! Teknologi yang digunakan oleh PERODUA juga berasal dari Jepun, melibatkan syarikat Daihatsu dan Toyota.

Jadi, tidak perlu risau tentang kualiti bahagian dalaman kereta, kerana ia pasti menggunakan teknologi terbaik dan tahan lasak!

NAZA, lahir sebelum PROTON?

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya terdapat jenama automotif tempatan yang muncul sebelum PROTON, iaitu NAZA. Pada awal penubuhannya pada tahun 1975, NAZA berperanan sebagai pembekal kereta import dalam bentuk kereta terpakai dari luar negara.

Baru pada tahun 2006, mereka memulakan pengeluaran kereta sendiri dengan rebadging, bermula dengan kereta Naza Bestari yang diambil dari jenama Perancis, Peugeot.

Walaupun mereka juga menghasilkan kereta rebadge dari syarikat kereta Korea Selatan, KIA Motors, seperti NAZA Citra dan NAZA Ria, namun kini fokus utama mereka adalah sebagai pengedar kereta dan motosikal import. Terutamanya digemari oleh golongan ustaz dan ustazah.

Bufori, jenama Australia berkelana di Malaysia

Bufori, sebuah syarikat pembuat kereta mewah yang menggabungkan elemen klasik dan moden. Kereta buatan mereka dianggap eksklusif, dengan pengeluaran terhad kira-kira 300 unit setahun. Walaupun dikatakan berasal dari Australia, Bufori mula beroperasi secara fizikal di Kepong, Malaysia.

Bufori Geneva merupakan antara model kereta mewah yang mereka hasilkan, dengan fokus pada reka bentuk klasik dan kemewahan. Meskipun harganya mencecah jutaan ringgit, kereta buatan Bufori ini tetap menjadi pilihan yang unik dan eksklusif di Malaysia.

Inokom, nama seperti Jepun tetapi jenama tempatan

Bila mendengar nama Inokom, ramai mungkin menganggap ia merupakan jenama kereta dari Jepun, tetapi sebenarnya tidak! Inokom merupakan hasil daripada kerjasama antara Malaysia, Korea Selatan, dan Perancis.

Malaysia memegang saham utama dengan 51% saham dimiliki oleh Sime Darby. Oleh itu, Inokom boleh dianggap sebagai jenama kereta Malaysia.

Kerana kerjasama ini dengan Korea, kebanyakan kereta yang dihasilkan oleh Inokom adalah hasil rebadging daripada Hyundai, syarikat kereta Korea. Walaupun terdapat satu model rebadge dari Perancis yang dikenali sebagai Inokom Permas.

Selain dari rebadging, Inokom juga terlibat dalam pemasangan kereta import seperti BMW, Mazda, Mini Cooper, dan Hyundai di Malaysia.

Sentiasa sokong produk tempatan!

Tidak kira jenama apa pun, yang penting ia tempatan. Hingga hari ini, kita dapat menyaksikan keharmonian dalam negara kita yang sering diceroboh oleh naratif yang memisahkan kita. Oleh itu, kita seharusnya memberikan sokongan kepada semua produk tempatan tanpa mengira kaum atau agama.

Kereta tempatan kita mempunyai teknologi yang setaraf dengan jenama luar negara, dan yang paling penting, ia adalah hasil buatan kita sendiri. Ingatlah, barang baik adalah barang kita sendiri!

BACA: Mercedes sumbang RM5 juta bantu organisasi Israel, PMX tolak guna Mercedes sebagai kenderaan rasmi