Rezeki turun dari langit, pesara guru menang cabutan BSN SSP RM1 juta!

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Seorang guru yang bakal bersara pada tahun hadapan tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-92.

Hasil menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak tahun 2009, Guru Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu Bagan Serai, Perak, 59,

Rosli Omar terpilih untuk memenangi hadiah berupa RM1 juta.

Rezeki turun dari langit, pesara guru menang cabutan BSN SSP RM1 juta!

“Saya mula menabung SSP dengan simpanan serendah RM200 kemudian naik ke RM500. Mungkin juga keberkatan orang berikan duit pada saya (seperti) daripada anak-anak dan sesiapa yang sumbang, saya akan simpan,”

katanya selepas Majlis Pelancaran Modul Celik Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan BSN Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di sebuah pusat beli-belah di sini, tadi.

Menerusi satu temu ramah bersamanya, Cikgu Rosli merancang menggunakan wang tersebut untuk mengerjakan ibadah haji bersama isterinya, serta menampung perbelanjaan dua orang anaknya yang kini menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Tentunya saya mahu pergi Haji kerana umrah saya sudah pergi tahun 2016. Kalau nak ikut giliran memang lambat lagi. Alhamdulillah rezeki yang ada hari ini dapat saya pergi dengan cepat bersama isteri saya.

“Kalau pergi dengan Tabung Haji atau cara pintas pun perlu RM30,000. Kalau dua orang RM60,000. Nak elok sikit mungkin lebih RM50,000 untuk seorang.

“Alhamdulillah Allah SWT bagi jalan untuk mudahkan saya ke sana, insya-Allah dalam perancangan,” katanya.

Tambah beliau lagi, membuat simpanan dalam BSN SSP menjadi pilihannya kerana berminat dengan hadiah lumayan ditawarkan dan juga tawaran dividen tinggi kepada penyimpan.

“Saya berminat tengok orang dapat rumah banglo, kereta mewah dan wang tunai. Jadi, saya rasa ini peluang yang tidak rugi untuk dilakukan bagi tujuan simpanan kita, ditambah pula kadar dividen ditawarkan,” katanya.

Dia berkata, daripada segi simpanan kewangan, perlunya ada sasaran jangka masa pendek dan panjang.

“Saya juga kagum dengan BSN SSP ini disebabkan peningkatan hadiah itu makin bertambah dan ia menyebabkan saya berasa seronok sangat,” katanya.

BACA: PMX akhirnya buka mulut beri respon calon yang bakal isi kekosongan jawatan Menteri