Serangan mengejut Hamas ke atas Israel dalam Operasi Ribut Al-Aqsa pada ulang tahun ke-50 perang Yom Kippur mungkin akan dikenang sebagai kegagalan paling besar pasukan risikan Israel.
Dalam beberapa jam, beribu-ribu penduduk Gaza masuk ke sempadan selatan Israel dan mengejutkan kedudukan tentera tempatan.
Pejuang Palestin menculik dan membunuh warga Israel di komuniti sempadan selatan, merakam serangan mereka sambil mara ke pelbagai lokasi.
“Dalam satu contoh, seorang wartawan televisyen Gaza menyampaikan laporan tentang serangan dari dalam Israel, detik yang hampir tidak dapat difikirkan,” kata Peter Beaumont, pakar perang dan konflik di Timur Tengah, seperti yang dilaporkan oleh Guardian.
Walaupun imej beberapa ribu roket melintasi langit telah menjadi perkara biasa selama bertahun-tahun di sekitar Gaza.
Tetapi serangan Hamas kali yang berjaya bergerak menawan kawasan awam dan meletupkan beberapa kubu tentera adalah satu tamparan hebat buat Israel.
Menurut Beaumont, situasi ini mengejutkan setelah mengambil kira teknologi yang dimiliki Israel jauh lebih moden berbanding Palestin.
Tambahnya lagi, agensi risikan Israel seolah tidur kerana tidak dapat menghidu kehadiran Hamas ke kawasan mereka.
“Industri teknologi pengawasan Israel, seperti yang dibuktikan oleh skandal perisian pengintip Pegasus, adalah antara yang paling maju di dunia dan kini gagal,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Timur Tengah Nour Odeh memberitahu Al Jazeera tiada amaran tentang apa yang akan berlaku.
“Mereka yang pernah bercakap tentang serbuan sebegitu sebelum ini dituduh sebagai peminat fiksyen sains.
“Kita mesti ingat bahawa Israel adalah kuasa tentera dan perbezaan antara tentera Israel dan Palestin sangat besar. Jadi apa yang kita lihat hari ini sudah tentu di luar jangkaan,” kata Odeh.
“Tetapi penganalisis telah memberi amaran selama berbulan-bulan tentang apa yang berlaku kepada rakyat Palestin di wilayah yang diduduki dan di Gaza.
“Jadi semua orang yang tahu apa yang sedang berlaku tahu bahawa ketenangan setakat ini adalah menipu, dan tahu sesuatu yang besar akan berlaku,” tambah Odeh.