Isu berkaitan anak angkat tidak asing lagi kepada masyarakat Malaysia khususnya.
Ini kerana suasana semasa menyaksikan bahawa banyaknya pengambilan anak angkat berlaku semenjak puluhan tahun dahulu lagi.
Meskipun begitu, terdapat beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan anak angkat yang memerlukan penjelasan tepat dan sahih.
Secara umumnya anak angkat adalah anak yang bukan terhasil dari nasab keturunan seseorang itu sendiri. Dari sudut anak tersebut secara nasabnya adalah anak kepada orang lain namun diambil sebagai anak angkat kerana beberapa sebab tertentu seperi contoh pasangan yang sudah lama berkahwin namun tidak direzekikan anak dan sebagainya.
Dari sudut undang-undang setempat, Malaysia secara umumnya membenarkan pengambilan anak angkat. Ini seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).
Antara isu yang penting berkenaan dengan pengambilan anak angkat ini adalah berkenaan dengan batasan pergaulan dan perhubungan sebaik sahaja anak ini mencecah usia baligh. Dari sudut hubungan anak angkat perempuan dengan bapa angkat dan juga anak angkat lelaki dengan ibu angkat.
Secara asasnya, anak angkat yang telah sampai usia baligh yang berlainan jantina dengan ibubapa mereka merupakan ajnabi (orang asing) kepada mereka. Ini kerana mereka pada umumnya tidak mempunyai hubungan nasab (keturunan) dengan ibubapa angkat mereka.
Dalam isu ini, kita hendaklah jelas berkenaan pendefinisian mahram terlebih dahulu.
Menurut sumber Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan, mahram hanya berlaku menerusi tiga perkara iaitu nasab, susuan, dan juga musaharah (perkahwinan). Justeru, setiap individu yang tidak ada sebarang hubungan pertalian menerusi ketiga sebab ini adalah bukan mahram bagi seseorang dan membawa kepada banyak implikasi hukum.
Oleh yang demikian, berbalik kepada isu anak angkat ini sekiranya mereka telah mencapai usia baligh, maka ada beberapa implikasi kemahraman dari sudut perhubungan dengan ibubapa angkat mereka.
Pertama, sekiranya anak angkat itu seorang perempuan, maka dia wajib menutut seluruh auratnya kecuali muka dan tapak tangannya di hadapan bapa angkat. Kedua, dia tidak boleh untuk bersentuhan kulit dengan bapa angkat tersebut.
Ketiga, mereka juga tidak boleh untuk berdua-duaan di sesuatu tempat tanpa ada mahram bagi lelaki atau mahram bagi dirinya. Keadaan ini sama juga sekiranya anak angkat tersebut merupakan seorang lelaki dengan ibu angkatnya.
Memetik laporan Harian Metro, yang melaporkan bahawa tindakan seorang selebriti lelaki berstatus bujang yang mengambil anak angkat perempuan menimbulkan persoalan kerana didakwa menyalahi undang-undang.
Pengasas dan pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali berkata, dia sudah beberapa kali membuat laporan berhubung perkara itu.
“Saya sendiri pernah membuat beberapa laporan kepada Bahagian Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Adakah mereka terlepas pandang? Ataupun selebriti ini mengambil anak angkat orang lain? Anak itu didaftarkan kepada ibu angkat lain? tetapi yang si bujang ni mengaku anak dia?,” katanya.
Dalam masa sama, Siti Nursuraya mendedahkan terdapat juga selebriti yang menggunakan anak angkat mereka sebagai kandungan untuk meraih populariti.
“Ada kes yang saya dapat tahu anak dia diambil semula oleh JKM sebab walaupun dia dah berkahwin tapi dia guna anak itu untuk raih populariti di media sosial. Kami buat laporan memang terbukti,” katanya.
Siti Nursuraya mendedahkan perkara itu selepas diundang ke stesen radio Kool101 oleh penyampai Haiza dan Muaz, pagi tadi.