Ayah mertua tak tahu pun suami saya tak kerja. Setiap kali dia minta duit, suami guna duit saya.
Saya dapat tahu, ayah mertua suruh suami ceraikan saya, katanya saya macam pokok getah tua tak ada hasil, patut ditebang.
Semuanya sebab saya masih tak boleh mengandung lepas 8 tahun kahwin.
Nasihat seorang ustaz yang saya temui, dalam rumah tangga suami isteri mesti mempunyai sifat suka tolong menolong, percaya mempercayai, ada kesetiaan, berbudi bahasa, dan paling penting mesti ada kejujuran, ikhlas dan tidak curang.
Jika tidak ada antara sifat-sifat ini, amat sukar sesebuah keluarga itu boleh hidup aman damai kerana salah satu pasangan sentiasa mencurigai antara satu sama lain. Katanya lagi, keluarga berantakan biasanya gara-gara tiga sifat yang dimiliki oleh suaminya, pertama tidak ada kejujuran, kedua dia tidak ikhlas dan ketiga dia curang.
Ketiga-tiga sifat ini sudah cukup kuat mengh4ncurkan sesebuah rumahtangga. Demikian keadaan rumahtangga saya, kemudian ditambah pula oleh sikap ayah mertua saya dengan anak-anaknya yang sering menghasut suami supaya ceraikan saya.
Lebih teruk lagi, suami suka sangat menunjukkan kuasanya di samping mempermainkan agama. Sebagai contoh, suami saya sering berdolak dalih bila terpengaruh dengan hasutan atau sedang marah, dia akan ceraikan saya tanpa berfikir panjang.
Tetapi apabila dia kembali tenang, dia mendakwa dia tidak berniat ceraikan saya. Inilah yang mengecewakan saya. Saya sedar banyak orang berkata, janda tidak boleh berkahwin dengan orang bujang, kalau kahwin juga keluarga suami akan membenci dan sentiasa menghasut anaknya supaya bercerai.
Kerana pada mereka, tidak layak seorang janda kahwin anak bujang. Tetapi mereka lupa jodoh pertemuan ditentukan oleh Allah. Tetapi seperti diduga, kehidupan saya tidak pernah aman. Mulanya ayah Rahman setuju kami berkahwin walaupun dia tahu saya janda dan ada seorang anak, tetapi entah macam mana lagi seminggu nak kahwin, ayahnya membantah.
Katanya tak layak anaknya kahwin dengan janda, begitu juga dengan adik beradiknya, semua membantah. Tapi saya tak boleh berganjak, segalanya telah siap. Kad jemputan dah hantar, khemah sudah didirikan, kalau tak kahwin malulah keluarga saya.
Tetapi dengan pertolongan keluarga Rahman yang lain, perkahwinan kami berjalan mengikut jadual, ayahnya datang juga. Tetapi kerana tidak disukai, kehadiran saya dalam keluarganya bagaikan melukut di tepi gantang.
Setiap kali saya datang ke rumah ayahnya, mereka anggap saya seperti tidak wujud. Kalau berbual pun, cuma dengan Rahman sahaja. Tetapi saya sabar, mereka tak suka saya dah berusia 35 tahun sedangkan Rahman ketika itu sudah 30 tahun, bukan muda sangat pun.
Satu perkara lagi, mertua saya beranggapan gaji anak lelakinya lebih besar daripada gaji saya dan sudah tentulah fikirnya Rahman kena tanggung anak tiri pula. Sedangkan sebenarnya gaji saya lebih tinggi daripada Rahman dan saya pula terp4ksa tanggung makan minum Rahman.
Setiap bulan saya belanja menguruskan makan minum dan ansuran rumah yang saya beli termasuk bil air, elektrik dan kereta. Rahman tidak beri saya walau RM10 sebulan, alasannya duit selalu tak cukup. Kalaupun dia beri saya RM100, hujung bulan dia minta pinjam RM200. Bermakna dia tak beri saya duit langsung.
Namun cinta punya pasal, saya sabar juga. Tetapi yang saya tak sanggup, dia suka sangat pinjam duit saya. Setiap bulan ada saja masalahnya. Akhirnya baru saya tahu dia terp4ksa beri duit kepada adik-adiknya yang masih belajar.
Kalau adiknya minta duit pada ayahnya. Ayahnya akan telefon Rahman minta hantar duit. Sebab itu mereka takut sangat Rahman kahwin, bimbang Rahman tak bagi mereka duit lagi. Lepas dua tahun kahwin, saya berhenti kerja.
Biarlah Rahman kerja seorang mungkin dia lebih bertanggungjawab. Tetapi sebab sebenar saya berhenti kerja kerana kami bekerja di tempat yang sama. Saya tak sanggup lagi dengar pekerja lain mengata dan mencaci Rahman.
Kata mereka, dia bukan pekerja yang baik, dia lembab, tak boleh dipercayai, sering gagal siapkan kerja dan macam-macam lagi. Jadi bila saya tak ada, mungkin dia boleh ubah sikap dan kelakuannya jadi pekerja cemerlang.
Tapi Rahman sukar berubah mungkin kerana sering mendapat tekanan dari ayahnya dan poketnya selalu kering. Hasrat saya supaya dia bertanggungjawab juga gagal, dia tidak mahu uruskan makan minum kami, alasanya tak ada duit.
Akhirnya simpanan saya kering, sebab beli makanan dan bayar ansuran rumah. Akhirnya Rahman pun berhenti kerja kerana tidak tahan dengan tekanan. Pekerja swasta bukan macam pekerja kerajaan, semuanya mesti pantas.
Kalau dulu saya sering lindungi Rahman, bila saya berhenti kerja, tentu rahsianya terbongkar. Bila dia berhenti kerja, saya dipanggil balik bekerja oleh majikan. Mereka mahu saya kembali bekerja. Walaupun malu tetapi demi meneruskan kehidupan, saya terp4ksa bekerja semula.
Saya bukan saja mendapat jawatan lama malah gaji turut dinaikan dengan bidang kerja ditambah. Walaupun Rahman mengganggur, ayah dan adik-adiknya tetap minta duit. Mereka tak percaya Rahman tak ada kerja, mereka kata saya kontrol duit Rahman.
Akhirnya Rahman dapat kerja di negara jiran. Bertempek gembiralah ayahnya kerana Rahman akan dapat gaji banyak. Sebelum pergi saya bekalkan duit poket untuk buat belanja selain kad kredit dan pakaian serba baru, sebab saya tak mahu dia dipermainkan berada di negara orang kerana kelemahannya.
Sebelum ke negara jiran, dia jumpa ayahnya. Sekali lagi ayahnya suruh ceraikan saya. Katanya dia restu Rahman kahwin lain. Malangnya tak sampai tiga bulan bekerja, Rahman balik bawa kain baju, katanya dah berhenti kerja.
Betullah seperti diduga, dia tak tahan dengan tekanan kerja, dia nak kerja yang senang saja. Kalau setakat berhenti kerja saja saya tak kisah. Tetapi dia berhenti dengan hutang kad kredit yang saya berikan dulu. Ini yang membuatkan saya pening.
Masa nak pergi dulu saya pinjam duit kawan untuk duit poketnya, jadi hutang saya bertambah banyak. Duit gajinya pula habis kerana bil makan di hotel yang ditunjukkan kepada saya sebagai bukti dia tak ada duit. Lagi parah kalau macam ini.
Ingatkan nak senang rupanya lebih susah. Menganggur lagi, kerjanya asyik memerap dalam rumah. Dengan pertolongan kawan saya, dia dapat kerja di Kuala Lumpur tapi lepas tiga hari dia berhenti. Alasannya jauh tak ada kenderaan, motor yang ada tak sesuai.
Menganggur lagi. Lepas tu dapat kerja lain, saya kena bayarkan duit sewa rumah, bagi duit poket, semua saya kena tanggung. Saya pula berhutang dengan kawan. Bila berjauhan memanglah dia banyak guna duit, saya tak kisah kalau dia tak bagi saya duit, tapi janganlah berhutang.
Tolong bayar hutang saya yang dia pinjam. Itu pun dia kata tak ada duit, macam mana nak bayar. Kali ini dia dapat kerja lain, untuk sampai enam bulan. Dia terus minta duit saya, katanya gajinya cukup untuk 10 hari sahaja macam mana nak hidup!
Sampai bila saya nak tanggung penderitaan ini? Asyik nak selesaikan hutang dia setiap bulan. Lebih menyakitkan, ayahnya dapat tahu saya sudah beli kereta sebab tak ada orang nak hantar saya ke tempat kerja. Ayahnya marah, ada kereta bagi bini.
Ayahnya tak tahu saya yang beli kereta itu. Tetapi ayahnya mengamuk suruh Rahman guna kereta dan suruh saya pakai motor. Ayahnya tak tahu Rahman tak ada kerja, suka bertukar-tukar kerja dan banyak hutang. Tetapi saya beralah.
Saya pakai motor, biarlah Rahman pakai kereta. Sabar juga. Saya tak kisah kalau dia tak bekerja, tetapi janganlah buat hutang. Ini hutang kad kredit siapa nak bayar? Entah macam mana dia boleh dapat tiga kad kredit dari bank berlainan.
Dalam waktu yang sama, ayahnya masih meminta duit untuk adik-adiknya. Bila saya kata Rahman tak ada duit sebab banyak hutang. Ayahnya tuduh sebab tanggung saya anak beranak. Sakitnya hati. Ayahnya selalu minta duit sebab Rahman tidak pernah beritahu dia tak bekerja dan banyak hutang.
Bila ayah minta duit, Rahman minta duit saya atau guna kad kredit. Itu belum masuk hutang dengan kawan-kawannya lagi. Kalaupun Rahman bagi saya duit saya bayarkan hutang kad kredit dia. Sebab saya tak mahu dia kena senarai hitam, susah nak dapat kerja. Malangnya Rahman tak insaf.
Kesabaran saya terhakis bila saya dapat tahu dia bercinta dengan seorang gadis sama tempat kerja. Tapi dia tak mengaku. Bila saya desak, akhirnya dia mengaku dan mengutuk saya konon dah kahwin lapan tahun tetapi tak ada anak.
Ayahnya kata saya macam pokok getah tua tak ada hasil, patut ditebang. Terkejut saya, sia-sia saya bantu bayar hutang dia selama ini, ini balasannya. Memang saya tak suka dia berhutang. Saya takut dia kena bankrap nanti susah dapat kerja.
Tapi dia tak peduli. Saya tak susahkan hidupnya. Kahwin dengan saya masuk rumah cuci kaki semua sudah tersedia. Kalau Rahman cerita yang sebenar tentu ayahnya tak benci saya. Perubahan Rahman ketara setelah bercinta, lagi banyak dia buat hutang dan cakap bohong.
Bila saya tanya adakah gadis itu kekasihnya, dia kata kawan. Tetapi pada saya perempuan itu beritahu mereka sudah merancang nak kahwin dan ayah Rahman suka mereka segera kahwin. Dua hari kemudian Rahman datang ke pejabat bagi saya kunci kereta.
Dalam kereta ada surat, bila buka saya terkejut, Rahman ceraikan saya dengan talak satu. Kerana tak puas hati, saya ajak Rahman ke pejabat agama. Rahman beritahu dia tak berniat ceraikan saya, jadi kami rujuk. Tetapi lima bulan kemudian Rahman jumpa pegawai kaunseling dan beritahu dia memang berniat ceraikan saya seperti dalam surat tersebut.
Saya terkejut, maknanya selama lima bulan itu kami berzina ke? Apakah Rahman faham apa yang dilakukannya. Ayah Rahman paling gembira kami bercerai. Kerana bercerai luar mahkamah banyak prosedur Rahman terpaksa bereskan, tapi dia minta saya selesaikan. Saya tahu dia tak ada duit.
Kini setahun berlalu, kes masih belum selesai lagi. Biarlah Rahman dan ayahnya uruskan. Saya tak sanggup berurusan dengan kaki pembohong dan suka permainkan agama..’’ Itu cerita Shima yang masih sedih dengan perceriannya.
Saya teringat pesan seorang teman. Suami kalau sudah tak suka, dia boleh buat apa saja walaupun mempermainkan talak. Yang penting, kita sebagai wanita mesti ada harga diri. Kalau dah tak serasi, jangan bodohkan diri lagi. Bertindaklah demi masa depan yang lebih baik.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio