Pemilik Lamborghini tenang maafkan warga emas langgar kereta mewahnya undang pujian netizen

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Tindakan pemilik Lamborghini memaafkan warga emas melanggar kereta mewahnya secara tidak sengaja di sebuah plaza tol mengundang pujian netizen.

Satu video tular di laman sosial Facebook yang dikongsikan pemilik Lamborghini, Abdul Rahim mendapat lebih 1,000 komen dan seribu kali perkongsian.

Rakaman daripada video terbabit menunjukkan Abdul Rahim dan warga emas tersebut berjaya menyelesaikan kes pelanggaran tidak sengaja itu dengan baik.

Pemilik Lamborghini tenang maafkan warga emas langgar kereta mewahnya undang pujian netizen

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Kia dipandu warga emas dikenali sebagai Wong telah membuat pusingan-U secara mengejut dan melanggar bahagian kiri kenderaan Super SUV milik Abdul Rahim.

Ekoran kejadian pelanggaran di lorong RFID terbabit, Abdul Rahim yang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur telah bertindak keluar daripada kereta mewahnya dan memeriksa bahagian dilanggar.

Malah Abdul Rahim juga pergi melihat kerosakan pada bahagian kanan kereta Kia yang dipandu warga emas terbabit.

Walaupun keretanya telah dilanggar oleh Wong, namun Abdul Rahim masih boleh tersenyum meskipun terdapat kesan pelanggaran pada Lamborghini miliknya.

Menerusi video tular itu, kedua-duanya dilihat telah menyelesaikan kejadian kemalangan dengan baik dan bersalaman.

Abdul Rahim turut berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima daripada Wong yang tidak sengaja melanggarnya.

Dalam perbualan mesej WhatsApp itu, Wong menjelaskan beliau seorang pesara yang tidak lagi bekerja.

Warga emas itu memohon maaf atas kemalangan yang berlaku dan sedia bertanggungjawab sepenuhnya membayar kos baik pulih kerosakan.

Bagaimanapun Abdul Rahim menolak permintaan Wong dengan baik kerana kerosakan yang berlaku adalah kecil.

Wong membalas dengan jawapan bahawa dia tetap berasa bertanggungjawab di atas kerosakan yang berlaku dan meminta Abdul Rahim untuk memberitahu kos baik pulih.

Warga emas itu juga menghargai sekiranya ditawarkan untuk membayar kos tersebut dengan harga diskaun.

“Selamat pagi Encik Rahim, mohon maaf atas kemalangan malam tadi. Tolong terima permohonan maaf saya.

“Apabila sudah bersedia, sila beritahu saya sebut harga pembaikan kereta anda supaya kami dapat menyelesaikannya dengan lebih awal,” kata Wong di dalam aplikasi WhatsApp kepada Abdul Rahim.

“Saya menghargai bantuan anda, Encik Wong, tetapi nampaknya ia sedikit sahaja kerosakan.

“Kemungkinan besar saya hanya akan menyerahkan bil kepada syarikat saya sebagai penyelenggaraan kereta.

“Saya akan memberitahu anda di sini (WhatsApp). Saya doakan kesihatan yang baik untuk anda dan isteri,” jawab Abdul Rahim.

Orang ramai yang melihat video itu telah memuji kedua-dua pihak kerana berjaya menyelesaikan insiden kemalangan itu dengan penuh matang dan bertanggungjawab.

Abdul Rahim meluahkan rasa bersyukur kerana video yang tular itu mendapat maklum balas positif daripada netizen.

“Sekurang-kurangnya dapat cuci semula imej bahawa bukan semua pemilik Lamborghini itu sombong dan tak beretika di jalan raya seperti yang berlaku sebelum ini,” ujar Abdul Rahim.

BACA: Khairul Aming dinobat sebagai ‘Content Creator of the year’ tapi ucapan padu dia buat ramai sentap!