Walaupun instafamous datang review kedai, tak semestinya halal! Lelaki ini dedah rahsia disebalik restoran ‘Muslim friendly’.
BANYAK restoran tidak mempunyai sijiil halal yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas sebab-sebab tertentu.
Justeru, ada pemilik bertindak menggantikan sijil halal dengan satu notis memberitahu restoran mereka adalah mesra Muslim atau makanan mereka bebas daripada bahan berasaskan arak dan daging khinzir.
Notis sebegini juga akan dicari oleh mereka yang melancong ke negara luar setiap kali tibanya waktu makan.
Namun begitu, melalui satu perkongsian di Facebook, seorang lelaki menegaskan masyarakat Muslim perlu berwaspada kerana perkara ini adalah lebih rumit daripada yang disangka.
Mempunyai pengalamannya selama 10 tahun sebagai pekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B), dia mendedahkan kebenaran di sebalik tabir industri diceburinya.
“Aku nak nasihat kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan kedai makan yang mengatakan mereka adalah ‘Muslim friendly’. Mana-mana yang pernah kerja bidang F&B akan lebih tahu,
“Ada yang kena paksa beritahu pelanggan Melayu bahawa kedai mereka ‘Muslim friendly’ walaupun mereka tahu barang supplier yang dipakai tak halal, tempat tak bersih dan tukang masak pengotor.
“Ditambah pula dengan jemputan influencer untuk tujuan marketing bagi menarik orang Melayu datang. Orang kita mudah dibeli,” kata lelaki itu.
Tambahnya lagi, definisi halalan toyyiban (halal dan bersih) sesuatu hidangan itu merangkumi banyak aspek dan tidak hanya menjurus kepada daging khinzir atau arak sahaja.
Nak dapatkan sijil halal bukan senang. Dulu manager pesan, kalau pelanggan tanya ada sijil halal ke tak, cakap je restoran kami free pork.
“Skop halal ni luas. Sedangkan ada kedai Melayu yang belum tentu halal. Sebab ada banyak perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Dari segi kebersihannya, ada yang pakai supplier bahan masakan yang tidak halal dalam keadaan terdesak. Selain itu, cara penyembelihan perlu diberikan perhatian.
“Perlu diletakkan dalam minda, kalau rasa was-was jangan masuk ke dalam kedai itu. Kita sebagai seorang Muslim harus mengkaji dan mendalami, jangan hanya asal boleh dan mengikut,
“Tak kan nak tunggu ada kepala babi tergantung depan kedai baru nak cakap tak halal,” tegur lelaki itu.
Lelaki itu juga menekankan bahawa setiap apa yang dimakan akan menjadi sebahagian daripada darah daging dan soal halal atau haram suatu hidangan itu tidak boleh diambil ringan.
Sebahagian komen warga maya.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya berbeza pendapat dan ada yang membawa perspektif baharu ke dalam perbincangan.
“Macam mana pula dengan nasi lemak yang dijual di tepi jalan. Nasi lemak mereka tak ada tanda halal. Kira boleh makan ke tak? Dia pun beli barang-barang basah secara bebas di kedai runcit.
“Dia pun tak tahu sayur-sayur dia asal mana, ikan bagi makan apa, siapa sembelih ayam dia. Kita tak boleh nak pukul rata, dalam perkara ini kita kena rujuk pakar dan agamawan.
“Saya pernah kerja di hotel dan saya akui ada kebenarannya dalam apa yang penulis ni bahaskan. Nak dapatkan sijil halal bukan senang. Dulu manager pesan, kalau pelanggan tanya ada sijil halal ke tak, cakap je restoran kami pork free.
“Sebab ada bahan-bahan dalam menu diaorang yang menggunakan wain dan sake,” cerita sebahagian warga maya.
BACA: