Kes gangguan seksual pendakwah terkenal, telefon Firdaus Wong dirampas Polis. Saksi pendakwaan keenam membabitkan perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah Ebit Lew, hari ini, memberitahu mahkamah bahawa ada membuat rampasan satu unit telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong.
Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawaty Isa berkata, beliau telah menerima arahan dari pegawai penyiasat,
Superintendan Noor Asyikin Shamsuri bagi menjalankan rampasan sebuah telefon bimbit milik salah seorang saksi pendakwaan, Firdaus Wong pada 28 September 2021, sekitar jam 2 petang.
“Saya dimaklumkan penama akan datang ke pejabat D11, Bukit Aman pada hari berkenaan.
“Sejurus penama tiba di pejabat D11 sekitar jam 7.05 petang, saya kemudiannya mengarahkan Firdaus Wong menyerahkan telefon bimbit milik beliau.
“Saya seterusnya telah mengeluarkan borang pemeriksaan kepada Firdaus Wong,” katanya.
Mengulas lanjut, Hirdawaty berkata telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.
Prosiding perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.
Mengenakan pakaian serba hitam dan berkopiah putih, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi tadi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam.
Pada prosiding 21 Disember lalu, Firdaus Wong memberitahu mahkamah dia tidak mengetahui sama ada ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) ada menghantar gambar lucah kepada Ebit.
“Beliau (pengadu) memang tidak pernah memberitahu kepada saya. Malah, saya juga tidak bertanya kepada beliau dan ini kali pertama saya melihat gambar berkenaan.
“Saya juga tidak boleh pastikan sama ada gambar lucah itu adalah gambar payudara ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) atau orang lain,” katanya pada prosiding itu.
Firdaus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada sesi pemeriksaan semula perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.
BACA: