Gadis Russia buka cerita caranya curi masuk panjat Menara 118, “saya menyamar..”

Oleh MHDAILY

Gadis Russia buka cerita caranya curi masuk panjat Menara 118, “saya menyamar..” Seorang wanita warga Rusia mendedahkan perbuatan menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di akaun Twitter miliknya pada Rabu, wanita yang dikenali sebagai Angela Nikolau itu menceritakan perjalanan dari awal bagaimana dia dapat memasuki menara itu tanpa disedari oleh mana-mana pihak.

Angela turut berkongsi beberapa gambar dan video berdurasi 7 saat mengenai perjalanan sewaktu memanjat menara tersebut.

Gadis Russia buka cerita caranya curi masuk panjat Menara 118, "saya menyamar.."

“Saya mengakui jatuh cinta terhadap Menara Merdeka 118 sebaik melihatnya dan merasakan suatu sambungan secara spiritual.

“Ia merupakan bangunan yang sangat megah di tengah bandar menakjubkan. Saya terpaksa menemukannya dan berkongsi pemandangan itu dengan orang lain,” katanya.

Wanita itu memberitahu dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara yang bagus supaya boleh menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan berkenaan sebelum memasukinya.

“Saya menghabiskan beberapa minggu mencari butiran penting yang perlu diketahui sebelum pergi ke sana,” ujarnya.

Angela menceritakan misinya dimulakan dengan melakukan penyamaran iaitu memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan sebaik mungkin.

“Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan berada dalam keadaan terlalu panas.

“Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri sedikit dan minum semua air yang ada,” katanya.

Wanita itu juga menceritakan detik cemas apabila dikesan ketika sedang berehat.

“Semasa berehat, saya menyedari bahawa saya telah dikesan dan kemudian mimpi ngeri bermula.

“Saya menjumpai tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu menghabiskan lebih dari 20 jam dalam kotak tersebut,” tambahnya.

Angela turut berkongsi keadaan dirinya pada 25 jam kemudian dengan tidak mempunyai makanan dan air selain tidak tidur.

“Saya tidak dapat meregangkan kaki dan seluruh badan kaku dan sakit. Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada berhampiran.

“Mereka boleh mendengar tangisan saya dan serahkan saya kepada pihak keselamatan. Ia adalah masa paling teruk dalam hidup saya,” ujarnya.

Tambah Angela, tiga jam kemudian dia perlu meneruskan misi itu meskipun berada dalam keadaan sukar.

“Jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi itu.

“Saya perlu kuatkan diri dan mula melakukan sesuatu. Nasib baik pekerja di situ berehat dan saya boleh keluar dan berlari ke puncak menara!” katanya.

Angela memberitahu dia yang memanjat menara setinggi 53 tingkat itu turut memakai memakai beg galas seberat 15 kilogram.

“Saya tidak pasti saya mendakinya jika saya tahu betapa tingginya menara itu. Selepas saya selesai mendaki, saya tidak merasakan lengan saya dan tidak dapat mengangkatnya,” katanya

Bagaimanapun, dia berkata, semangatnya meningkat semula sebaik melihat pemandangan menara tersebut.

“Ia adalah musim hujan jadi saya menjangkakan keadaan awan dan landskap kelabu. Sebaliknya saya melihat sinaran matahari dan kecantikan yang luar biasa

“Ia adalah keajaiban peribadi saya. Saya berasa terjaga dan bertenaga semula. Semuanya berbaloi!” ujarnya lagi.

Wanita itu menceritakan meskipun pendakian itu paling sukar dalam hidupnya namun ia adalah suatu pengalaman yang luar biasa.

“Saya tidak pasti saya akan dapat melakukannya lagi tetapi keindahan yang dilihat dan dirakam selain kongsikan dengan anda adalah luar biasa,” katanya.

Angela menyatakan dia akan memuat naik Non-Fungible Token (NFT) khusus untuk Menara Merdeka 118 pada esok.

“Saya mahu orang lain juga memiliki pencapaian seperti ini,” jelasnya.

Baru-baru ini tular gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung tindakan pasangan yang memanjat ke puncak Menara Merdeka 118.

BACA JUGA :

Fizi Ali dah berani dedah pengganti ibu kepada anaknya

Atlet MMA buat perangai gangster dalam pesawat, last-last kena halau

Ketagih tarik rambut kembar sendiri, penyelesaiannya buat ramai puas hati