Bos Jakel cerita keadaan sebenar gedungnya di Shah Alam boleh terbakar. Pemilik gedung tekstil terkemuka, Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 di sini, menanggung kerugian ratusan juta ringgit apabila gedung tersebut musnah dalam kebakaran pada Ahad.
Kebakaran berlaku ketika jendela tahun baharu membuka tirainya itu turut menyebabkan bangunan bersebelahan gedung berkenaan mengalami kerosakan berikutan api merebak dengan cepat.
Ketua Pegawai Operasi Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel, berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 6.45 pagi dan masih berada di kediamannya di Kuala Lumpur sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.
“Saya dan adik bergegas ke Shah Alam dan sebaik tiba di lokasi kami melihat keadaan kemusnahan bangunan agak teruk dan tidak sempat hendak selamatkan apa-apa di bahagian berkenaan.
“Kami reda dengan ketentuan Ilahi kerana setiap perkara berlaku ada kebaikan akan datang, rahsia itu tiada siapa tahu, jadi saya pasrah dan reda,” katanya kepada Sinar Harian ditemui di lokasi pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohamed Nizam berkata, pihaknya bersyukur kerana kejadian berlaku ketika gedung pakaian itu belum mula beroperasi dan tiada pekerja yang berada di dalam bangunan berkenaan.
Menurutnya, Jakel juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membantu walaupun perusahaan keluarganya musnah kerana dapat menyelamatkan kedai yang berdekatan.
“Kita masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggung namun kerugian kali ini amat besar apabila barang yang disimpan di setiap lima aras bangunan boleh dikatakan musnah.
“Jakel Shah Alam digerakkan oleh 500 kakitangan dan kami memberi jaminan nasib pekerja akan dijaga dan mereka juga akan menerima gaji seperti biasa walaupun gedung pakaian ini musnah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 pagi.
Menurutnya, sebanyak tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Shah Alam, Kota Anggerik, Subang, Kota Raja, Damansara, Sungai Pinang dan Puchong digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 38 pegawai dan anggota dari tujuh BBP kemudiannya ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan dan kerja-kerja pemadaman masih lagi dijalankan setakat jam 12.00 tengah hari pada Ahad.
BACA JUGA :
Kecoh jumpa king cobra bawah kerusi
Balu Abam akhirnya buka mulut selepas menang kes saman dengan Ali Puteh