Sewa atau beli rumah? Hadam tips ini dulu sebelum buat keputusan

Oleh MHDAILY

Sewa atau beli rumah? Hadam tips ini dulu sebelum buat keputusan. Semua orang tahu bahawa nak beli rumah ni bukan senang. Ada yang perlu menabung selama bertahun-tahun untuk cukupkan deposit rumah. Deposit saja dah makan berpuluh-puluh ribu, dan sebab itulah ramai yang ‘terkandas’ di permulaan proses untuk membeli rumah.

Akhirnya, ambil keputusan untuk menyewa sahaja sementara menunggu wang simpanan mencukupi untuk deposit dan bayaran lain sebelum boleh memiliki rumah sendiri.

Tapi, dengan peningkatan kos sara hidup, harga rumah sewa juga seakan membebankan penyewa. Si pemberi sewa pun tak dapat membantu lebih kerana mereka juga ada komitmen yang perlu dilunaskan dengan bank.

Jika dilihat, ada yang terpaksa mengasingkan wang sebanyak RM1k sebulan untuk bayaran sewa rumah. Bila sudah cukup RM1k, adalah lebih baik beli rumah sendiri kan? Sebab anggaran bulanan rumah baharu pun sekitar RM1k juga.

Bila timbul kesedaran untuk beli rumah, perlu juga diiringi dengan usaha yang berterusan. Tapi jangan pula menganggap kerajaan tidak mengendahkan mereka yang bernasib sebegini kerana ada i-Biaya seperti mana yang diumumkan dalam Bajet 2022 lalu.

Sewa atau beli rumah? Hadam tips ini dulu sebelum buat keputusan

Apa itu i-Biaya?

Bagi memastikan misi Satu Keluarga, Satu Rumah tercapai, kerajaan telah melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) pada 2022. Ia merupakan salah satu komponen di bawah Home Ownership Programme (HOPE) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Sebanyak 500,000 rumah mampu milik telah disediakan melalui program ini sebagaimana yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Terdapat 3 skim yang ditawarkan dalam i-Biaya ini iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Skim Rumah Pertamaku (SRP) dan Skim Sewa Untuk Miliki (Rent-to-Own).

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)

Skim ini memberi sokongan kepada mereka yang tidak mempunyai dokumentasi lazim yang diperlukan untuk pinjaman perumahan seperti slip gaji, KWSP dan sebagainya.

Ia juga dapat membantu pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan, peniaga atau usahawan kecil. Peminjam bakal dapat pembiayaan lebih tinggi sehingga 100%.

Skim PR1MA Rent-To-Own (RTO)

PR1MA merupakan antara skim perumahan yang paling popular di Malaysia. Bagi anda yang masih belum tahu, PR1MA ialah rancangan perumahan yang menyasarkan isi rumah berpendapatan sederhana (juga dikenali sebagai kumpulan M40).

Lokasi perumahan PR1MA dibangunkan di pusat-pusat bandar utama di seluruh negara dengan unit-unit yang ditawarkan pada harga berpatutan tanpa menjejaskan kualiti hartanah.

Skim Rumah Pertamaku (SRP)

Bagi yang tak tahu atau tak pernah dengar SRP ini apa, SRP adalah singkatan daripada Skim Rumah Pertamaku. SRP ini merupakan inisiatif pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan kasar bulanan isi rumah sehingga RM10,000.

Pemohon tidak perlu membayar sebarang wang pendahuluan, malah boleh mendapat pembiayaan sehingga 110 peratus untuk pembelian rumah pertama yang bernilai sehingga RM500,000.

Pemohon boleh memilih sama ada ingin membuat permohonan bersama atau secara individu, asalkan tiada rekod buruk pembiayaan dalam tempoh 12 bulan sebelum memohon.

Pembiayaan sehingga 110% daripada bank

Skim SRP sangat bagus kerana ia membolehkan pembeli rumah pertama untuk mendapat pembiayaan sehingga 110% daripada bank-bank yang terlibat serta membolehkan pemilikan rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

20% pertama dijamin atas dasar ‘kerugian pertama’

Sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia, pemohon SRP yang layak akan dijamin sehingga 20% pertama oleh Cagamas SRP Berhad (“CSRP”) atas dasar ‘kerugian pertama’.

Kini, masalah untuk mengumpulkan wang deposit rumah tidak perlu menjadi beban lagi untuk difikirkan kerana SRP dapat membantu korang mendapatkan 0% bayaran pendahuluan.

Bila sudah ada rumah sendiri, tidak perlulah lagi membayar sewa dan boleh buat sesuka hati pada rumah baharu. Semestinya isteri dan anak-anak mahupun keluarga akan gembira sekiranya dapat memasuki rumah baharu. Untuk maklumat lanjut berkenaan SRP, layari YouTube MOF Malaysia.

BACA:

Norjuma terima notis bangkrap, ini perkara sebenar terjadi

Laporan dedah kualiti jalan raya Malaysia antara yang terburuk, paling bahaya di dunia

“Semua malaikat, saya seorang sahaja tidak” – Zul Ariffin