Iman Troye akui universiti tempatnya cari teman lelaki

Oleh MHDAILY

Iman Troye akui universiti tempatnya cari teman lelaki. PENYANYI Iman Troye mengakui kesibukan jadual seni dan tugasan kuliah menghalang dia meratapi kehancuran percintaannya yang berakhir baru-baru ini.

Enggan mendedahkan identiti bekas kekasih, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 20, mengakui sempat menjalin percintaan selama dua tahun dengan rakan sekuliah sebelum hubungan tersebut berakhir baru-baru ini.

“Saya sempat bercinta dari semester satu hingga empat dengan seorang lelaki daripada jurusan sama.

“Hubungan itu telah pun berakhir dan saya tidak sempat untuk menangis kerana terlalu sibuk. Saya menangis kerana tugasan kuliah yang banyak sahaja,” ujar Iman sambil tertawa.

Menurut Iman, percintaan mereka berakhir kerana masing-masing sibuk dengan pelajaran dan bukannya berpunca daripada statusnya sebagai selebriti popular.

Iman Troye akui universiti tempatnya cari teman lelaki

“Disebabkan terlalu sibuk rasanya, sudah sampai masa untuk saya beri fokus terhadap diri sendiri berbanding orang lain,” kata Iman.

SEDAR usianya masih muda, Iman Troye menyifatkan kegagalan hubungan dengan rakan sekuliah di universiti sebagai cinta monyet yang manis untuk dikenang.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Teman itu, meskipun hasratnya untuk mencari teman lelaki di universiti termakbul, namun usia muda telah menghalangnya untuk meneruskan hubungan sama ke fasa serius seperti perkahwinan.

“Semasa peringkat awal masuk ke universiti, saya memang mencari kekasih. Tipulah tidak ada yang mendekati dan saya pula memilih.

“Sempatlah bercinta, tetapi saya masih muda untuk terlibat dalam sebuah percintaan yang serius sehingga membawa ke arah perkahwinan.

“Cinta monyet adalah, mungkin kerana itu saya tidak mendedahkan identiti kekasih. Sebabnya, saya sendiri tidak tahu masa depan dan siapa jodoh saya,” kongsi Iman.

Ditebak tentang pandangannya terhadap pelajar yang bercinta ketika di universiti, kata Iman, perkara tersebut tidak menjadi satu kesalahan andai pelajaran tidak terganggu.

Dalam kalangan sahabatnya, ada yang bertekad untuk mencari kekasih dan berkahwin dengan lelaki yang dikenali ketika belajar di universiti.

“Bagi saya setiap orang ada pendapat masing-masing. Ada rakan saya yang masuk universiti memang berniat untuk mencari kekasih dan berkahwin dengan rakan universiti.

“Mungkin bagi mereka jika ada teman wanita atau teman lelaki, dapat memberi semangat untuk belajar dengan lebih baik.

“Saya sendiri juga melalui pengalaman yang sama dan sepanjang bercinta dahulu pelajaran saya langsung tidak terganggu, malah mendapat Anugerah Dekan untuk setiap semester,” kata Iman yang merupakan pelajar Diploma jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Bercakap lanjut tentang pelajaran, meskipun sudah popular dan memiliki pendapatan lumayan, Iman memilih untuk menyambung pelajaran demi masa depannya.

Biarpun berasa lelah kerana terpaksa membahagikan masa antara karier dan pelajarannya, Iman yakin keputusannya adalah tepat untuk menambah ilmu di dada.

“Saya minat muzik, menyambung pelajaran dalam bidang muzik, bekerja juga dalam industri yang sama, jadi tidak ada masalah kerana saya tiada sebarang alasan untuk tidak belajar bidang yang diminati.

“Ada selebriti yang menangguh pengajian kerana sibuk dan sukar membahagikan masa ketika nama tengah popular, tetapi bagi saya, daripada saya bayar untuk kelas peribadi, lebih baik saya belajar secara formal untuk mendapatkan diploma.

“Namun, perkara ini mustahil untuk dicapai jika tiada sokongan dan bantuan daripada orang sekeliling seperti keluarga, rakan-rakan universiti, pensyarah dan pengurusan,” ujar Iman.

SEBAGAI duta sebuah institusi akademik, Iman Troye berusaha dengan sebaik-baiknya menjaga imej agar tidak membawa pengaruh negatif terhadap pelajar.

Dalam pada itu, Iman yang diangkat sebagai duta pusat peningkatan akademik PTTI bersama penyanyi rap, MK K-Clique meluahkan rasa gembiranya apabila dapat memberi semangat kepada pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebagai seorang pelajar dia amat memahami masalah yang dihadapi pelajar lain semasa mengikuti kelas bersama PTTI.

“Ini merupakan tahun kedua saya bersama PTTI. Sebagai duta, tugas saya adalah memberi semangat dan sama-sama memantau perkembangan pelajar.

“Melihat pelajar cemerlang dalam keputusan SPM, satu kepuasan yang sukar untuk saya gambarkan. Mereka melalui zaman belajar di kelas, kemudian secara dalam talian kerana pandemik Covid-19, seterusnya kembali ke sekolah.

“Transisi tersebut bukanlah satu perkara yang mudah. Jika tidak ada sokongan yang kuat daripada orang sekeliling pelajaran akan terjejas,” luah Iman.

Menjadi ikon kepada pelajar-pelajar yang masih muda juga bukanlah satu perkara mudah. Semua itu hadir dengan tanggungjawab berat.

Selain perlu menjaga imej supaya bersih daripada kontroversi negatif, Iman juga harus membuktikan dia layak untuk bergelar duta PTTI dengan tahap akademiknya.

“Sangat susah sebenarnya apabila dilihat sebagai ikon, orang pasti akan tanya apa kelayakan saya? Tetapi sebab saya pun masih belajar perkara yang saya minati iaitu muzik, jadi hal yang sukar menjadi mudah.

“Meskipun harus membahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian, saya seronok.

“Setiap kali bangun pagi, saya akan bersemangat kerana sedar ada orang (pelajar dan peminat) yang memandang saya sebagai ikon mereka.

“Jadi, apa sahaja nasihat saya untuk mereka akan saya gunakan untuk diri sendiri juga sebab sama-sama tengah bergelut dengan pelajaran,” kongsi Iman yang ditemui pada majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 PTTI di Double Tree by Hilton baru-baru ini.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharu kerjaya nyanyiannya, penyanyi lagu Harum Sundal Malam itu bakal muncul dengan sebuah lagu bergenre pop tidak lama lagi.

Sungguhpun begitu, perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan memandangkan dia kini masih sibuk dengan kuliah.

Karier

“Selepas muncul dengan lagu balada Harum Sundal Malam, saya merancang untuk kembali dengan genre pop. Buat masa ini, saya dan pengurusan masih berbincang dengan strategi dan konsep video muzik,” ujar Iman.

Menjadi pelajar jurusan muzik juga menuntut Iman mencipta beberapa buah lagu bagi memenuhi tugasan kuliah.

Pun begitu, Iman bagaimanapun masih tidak yakin untuk mengangkat karyanya sendiri sebagai single.

“Saya sudah ada beberapa buah lagu yang dicipta sendiri, tetapi saya masih belum yakin untuk gunakannya dalam single atau album.

“Insya-Allah pada masa depan memang saya teringin untuk menjadi penulis dan pencipta lagu sendiri,” luahnya.

Selain itu, Iman turut berazam untuk memperbaiki pandangan masyarakat terhadapnya.

Terdahulu, Iman pernah dikritik kerana dianggap mencemarkan imej wanita muslimah selepas beberapa penari yang mengiringinya, menari dalam busana yang ketat dan berhijab sewaktu Separuh Akhir Muzik Muzik ke-36 lalu.

“Saya sedar ramai yang mempersoalkan perkara tersebut. Jika ikutkan saya, mestilah menari dalam keadaan yang sopan dan tidak mencolok mata.

“Sebagai penyanyi yang membawakan imej wanita muslimah, saya akan cuba sehabis baik untuk memperbaiki mana yang kurang pada projek yang akan datang,” kata Iman menutup bicara.

BACA:

Selepas muatnaik gambar tak bertudung, Elyana dedah dia dah give-up

Pilih Bersatu, Hadi salah percaturan – Khairuddin Takiri

Netizen kecam tudung ‘terbang’ lagi, sekali kena sekolah balik dengan isteri Caprice