Nora Danish jadikan Janna Nick idola, nekad buka Production House

Oleh MHDAILY

Nora Danish jadikan Janna Nick idola, nekad buka Production House. Meskipun sudah lama berkecimpung di dalam dunia lakonan, aktres jelita, Nora Danish mendedahkan dirinya masih lagi belum menemui watak yang mampu memberikan kepuasan terhadap kerjayanya sebagai seorang anak seni.

Lantaran itu, Nora memaklumkan dirinya masih lagi belum bercadang untuk bersara dalam masa yang terdekat.

“Sebenarnya, sejak daripada awal penglibatan saya di dalam dunia seni ini, saya memang tak terfikir untuk berlakon selamanya sehingga dimamah usia. Saya ada sasaran saya sendiri.

“Walaupun sudah meniti usia 40 tahun, sebenarnya ada banyak lagi perkara yang belum saya kecapi. Ada lagi cita-cita yang saya idamkan. Saya memang sangat sukakan watak ‘hopeless romantic’.

“Kalau orang tanya, watak apa yang saya belum dapat, jawapan saya tetap love story. Saya belum dapat watak yang betul-betul kena dengan jiwa saya. Jadi, untuk bersara itu, mungkin belum lagi,” katanya kepada MH.

Nora Danish jadikan Janna Nick idola, nekad buka Production House

Pelakon yang menempa nama menerusi sitkom Puteri itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran produk makanan tambahan milik pelakon, Nabila Huda yang berlangsung di ibu kota pada Sabtu.

Nora turut menambah, dia juga memasang impian untuk memiliki rumah produksi sendiri satu hari nanti.

“Kalau nak beralih ke fasa seterusnya, saya akan teruskan juga dalam bidang industri seni ini kerana ini merupakan minat saya.

“Saya memasang impian untuk membuka sebuah rumah produksi. Saya mahu beri fokus pada bidang penerbitan dan pengarahan,” jelasnya lagi.

Nora turut menambah, antara individu yang memberikannya inspirasi untuk beralih ke bidang belakang tabir ini ialah rakan selebriti iaitu Janna Nick.

Jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini lagi, sepanjang berlakon dibawah arahan Janna, dia amat terpegun dengan komitmen dan cara kerja yang ditunjukkan oleh rakan sangkatannya itu.

“Saya sangat kagum dengan Janna Nick. Saya baru sahaja selesai penggambaran dengan dia untuk sebuah karya seram. Saya kagum melihat cara dia mengarah.

“Saya terkejut sebab caranya macam dah berpengalaman. Dia ada karisma dan hala tuju yang tersendiri. Saya sangat terpegun.

“Saya ada bertanya kepada Janna, apa pengalamannya sebelum ini? Ada masuk kelas mengarah ke? Dia kata tiada dan semua itu hadir kerana minat.

“Kalau dia boleh, maknanya saya pun boleh. Dia memberi inspirasi kepada saya walaupun usianya masih muda. Saya in love la dengan cara kerja dia,” akhirinya.

Sekadar informasi, filem terbaru lakonan Nora yang berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin kini sedang ditayangkan di saluran Astro First.

Selain Nora, filem ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat lain antaranya MK, Ropi, Yassin Senario dan ramai lagi.

BACA:

Baju ‘belahan dada’ jadi perbualan hangat netizen, ini respon Nora Danish

Terkinja-kinja menari, Nora Danish kena tegur agar tutup ‘susu’

Nora sedih tak dapat khatam al-Quran tahun ini, jelas keadaan sebenarnya sekarang