Anak Malaysia bakal jadi Menteri Luar Australia selepas menang pilihanraya. Anak kelahiran Malaysia, Penny Wong, adalah antara lima anggota kaukus Parti Buruh yang akan menjadi barisan menteri pertama mengangkat sumpah esok selepas pilihan raya umum Australia.
Penny, yang berkelulusan undang-undang, dilahirkan di Kota Kinabalu tetapi berpindah ke Australia pada 1976 ketika berusia lapan tahun, dijangka dilantik sebagai Menteri Luar Australia.
Beliau pertama kali dilantik sebagai anggota Senat mewakili Parti Buruh pada 2001 dan pernah dua kali dilantik semula pada 2007 serta 2013.
Di bawah kerajaan Kevin Ruud pada 2007, Penny dilantik menteri Perubahan Iklim dan Air dan selepas pilihan raya umum 2010, dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Pada 2013 Penny dilantik sebagai Ketua Kerajaan di Senat dan selepas pertukaran kerajaan pada tahun yang sama, beliau dilantik Ketua Pembangkang di Senat iaitu wanita pertama bagi memegang kedua-dua jawatan itu.
Susulan pilihan raya umum 2016 pula, Penny dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Senat dan sebagai Menteri Luar dalam Kabinet bayangan parti Buruh.
Beliau dijangka menyertai Perdana Menteri baharu Australia, Anthony Albanese, yang akan akan bersama Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India pada sidang kemuncak Quad selama dua hari, dalam tugas rasmi pertama selepas memenangi pilihan raya kebangsaan.
Albanese berkata anggota daripada pasukan kerajaannya akan mengangkat sumpah, esok, sekali gus membolehkan beliau menghadiri sidang kemuncak di Tokyo pada keesokan harinya bersama Penny.
Kumpulan Quad disatukan oleh keinginan negara anggota untuk mengimbangi saingan ekonomi dan geopolitik China yang berkembang selain ketenteraan dan pengaruh teknologi.
Australia semakin berwaspada dengan pengaruh Beijing di rantau Pasifik yang pesat berkembang.
Baru-baru ini, China menandatangani perjanjian keselamatan dengan Pulau Solomon, mencetuskan kebimbangan Amerika AS dan Australia bahawa ia mungkin mewujudkan pangkalan tentera di negara Pasifik itu.
BACA:
Lelaki belasah orang tua akhirnya dibelasah balik penduduk, dakwa ini puncanya…
Selangor dan NS perkenal projek tanaman jagung, atasi masalah makanan ayam
Krisis bekalan gandum makin parah, Pengimport Asia berebut cari bekalan