7 makanan paling menggemukkan di Malaysia – “Nombor 7 paling tak sangka!”

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Negara kita ‘diberkati’ dengan pelbagai jenis makanan yang menepati cita rasa segenap lapisan masyarakat Malaysia tak kira umur mahupun bangsa.

Walau bagaimanapun, nikmat ini malah memberikan kesan negatif kepada segelintir rakyat negara kita terutamanya dari aspek kesihatan seperti obesiti dan sebagainya.

Sangat merisaukan, berikut antara makanan kegemaran masyarakat tempatan yang boleh menjadi punca kegemukan berdasarkan perkongsian jurulatih kesihatan terkenal, Kevin Zahri.

7 makanan paling menggemukkan di Malaysia – “Nombor 7 paling tak sangka!”

1. Nasi Lemak

Hidangan kegemaran hampir seluruh rakyat Malaysia ini mengandungi karbohidrat, protein dan lemak. Bayangkan, nasinya sahaja mempunyai lebih kurang 390 kalori.

Sangat menggemukkan, hidangan lengkap yang dicampurkan bersama sambal, telur rebus, ikan bilis dan kekacang dijangka mempunyai lebih kurang 450-500 kalori!

2. Roti Canai

Boleh dikatakan hampir semua rakyat Malaysia menggemari makanan yang murah, paling senang dan cepat disiapkan ini. Namun perlu diingatkan, sekeping roti canai bersamaan dengan 300 kalori.

Kalau dua keping, sudah mencapai 600 kalori. Itu baru hidangan sarapan pagi. Bagaimana pula dengan makan tengah hari dan malam? Nak makan apa agar kalori tidak berlebihan?

Tidak sihat untuk dimakan, orang ramai perlu melakukan senaman larian dalam masa 90 minit untuk membakar 600 kalori yang diperoleh selepas memakan roti canai.

3. Nasi Goreng

Tahukah anda, satu pinggan nasi goreng bersamaan dengan 630 kalori. Makanan kegemaran ramai ini banyak mengandungi lemak dan juga karbohidrat.

Kalau nak makan, cuba jangan ambil lebih daripada segenggam tangan.

4. Ais Krim

Tidak berlebihan jika kita katakan aiskrim adalah makanan yang digemari oleh seluruh rakyat negara ini. Apalagi dengan cuaca Malaysia yang panas 365 hari setahun.

Tetapi ingat, ais krim sangat tinggi dengan lemak dan gula serta kalori. Dua senduk aiskrim sahaja sudah bersamaan dengan 380 kalori.

5. Burger

Sangat menggemukkan, makanan ini cukup berkalori tinggi di mana daging kisarnya mengandungi nilai lemak yang banyak. Satu hidangan burger biasanya lebih dari 475 kalori.

Bukan itu sahaja, kalori juga bakal bertambah kerana makanan ini bakal disantap dengan keju, sos cili, mayonis, atau kadang-kadang spesial sedikit ada telur.

6. Mi Kari

Cukup menyelerakan, hidangan mi kari dilengkapkan dengan supnya yang diperbuat daripada santan. Makanan ini mengandungi lebih kurang 500 kalori.

Kalau teringin juga, dinasihatkan untuk menggantinya dengan hidangan mi sup. Baru 380 kalori.

7. Mayonis.

Suku cawan mayonis mengandungi 360 kalori bersamaan dengan 40 gram lemak. Memang agak kurang sihat jika anda penggemar mayonis yang tegar. Jadi kurangkan!

“Sebenarnya makanan yang disenaraikan ini tak menggemukkan pun. Cuma, ia bergantung kepada anda berapa banyak anda makan dan kuantiti yang diambil.

“Jika anda makan tanpa mengambil kira kalori dan lemak yang terkandung dalamnya, maka tindakan yang diambil itu dianggap sebagai sengaja menggemukkan diri sendiri.

“Jadi anda harus kawal pemakanan dan tahu bagaimana mengira sukatan kalori setiap hari. Semoga berjaya!,” Jelas Kevin Zahari menerusi satu hantaran di laman web miliknya.

Baca juga:Bekas setiausaha politik kepada MB Kedah didakwa terima rasuah RM400,000