Siapa sangka, keadaan tilam yang kita gunakan setiap malam sebagai tempat tidur boleh menjadi punca masalah kesihatan sehingga mengundang pelbagai penyakit.
Perkara itu dedahkan oleh pakar perubatan dikenali sebagai Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Jelasnya, hal ini berlaku kerana permukaan tilam dan juga bantal digunakan sebagai tempat tidur lebih enam jam tanpa henti iaitu sebahagian besar dari aktiviti harian.
“Kadang-kadang, saya kena tanya pesakit. Bilakah kali terakhir mereka tukar tilam.
Selain tilam dan bantal, ada tak permukaan lain yang kita gunakan lebih daripada enam jam?
“Di pejabat pun, kita bukan duduk di kerusi sepanjang masa. Adakalanya, kita juga berdiri. Jadi, keadaan tilam sebenarnya boleh mempengaruhi kesihatan kita,” katanya.
Dalam hantaran sama, Dr. Kamarul turut berkongsi empat jenis masalah kesihatan yang mungkin berpunca dari keadaan tilam yang rosak dan tidak sesuai digunakan.
Antara masalah kesihatan tersebut;
1. Sakit Badan
Keadaan tilam dan bantal yang tidak sempurna ataupun sudah lama boleh menjadi punca tubuh badan menjadi kerap sakit. Contohnya seperti sengal di tengkuk, belikat dan pinggang.
Hal ini kemungkinan disebabkan oleh keadaan tilam dan bantal yang sudah terjejas serta tidak lagi mampu memberi sokongan sesuai terutamanya untuk tubuh badan.
2. Alahan
Tilam dan bantal adalah salah satu tempat kuman yang menyebabkan risiko alahan berkumpul seperti debu, habuk, bahan kimia. Kesannya, seseorang itu akan kerap mengalami gegata, mata berair, selsema, bersin dan asma.
3. Kutu dan Hama
Parasit pembawa penyakit seperti kutu, pepijat, tungau dan hama sering menjadikan tilam dan bantal sebagai tempat tinggal. Binatang ini juga menjadi punca masalah kulit seperti kegatalan, ruam, dan kudis.
Lebih memburukkan keadaan, parasit ini juga sangat gemar menumpang dan boleh berpindah daripada satu individu ke individu lain yang berkongsi tempat tidur sama.
4. Bakteria dan Kulat
Bakteria dan kulat pada tilam boleh menjangkiti tubuh dan menyebabkan masalah pada kulit, pernafasan, rambut, kuku dan sebagainya. Selain itu, spora kulat juga boleh menyebabkan keracunan.
Dr. Kamarul menerusi hantaran tersebut turut berkongsi langkah-langkah yang boleh dilakukan sebagai usaha memastikan tempat tidur berada dalam keadaan baik.
Tukar cadar setiap minggu
Cadar dan sarung bantal perlu ditukar sekurang-sekurangnya seminggu sekali. Hal ini kerana ia adalah permukaan yang bersentuh secara langsung dengan tubuh kita. Maka ia akan menyerap peluh, hingus, air liur dan lendiran dari tubuh.
Gunakan cadar anti-alahan
Wujud beberapa jenis cadar yang menggunakan bahan yang tenunannya lebih rapat. Ini dapat mengurangkan penembusan alergen dari permukaan tilam, naik ke lapisan cadar. Kebiasaannya cadar ini dilabel sebagai ‘hypoallergenic’ atau ‘anti-dust’.
Pusingkan tilam setiap bulan
Pusing atau terbalikkan tilam supaya penggunaan permukaannya sekata. Ini boleh memanjangkan hayat tilam. Namun tilam yang mempunyai bahan berbeza di antara permukaan atas dan bawah, tak perlu terbalikkan.
Bersihkan Tilam setiap tiga bulan
Setiap kali dipusingkan, boleh bersihkan juga tilam itu. Contohnya jemur, guna mesin pembersih hampagas, teknik cucian kering atau kaedah lain yang sesuai dengan jenis tilam. Ini untuk bertujuan membasmi kotoran, perosak dan kuman.
Jelas pakar perubatan itu lagi, tilam boleh terus ditukar sekiranya bentuknya sudah berubah, kain pelapik sudah belubang dan reput, masih berbau selepas dicuci atau berusia lebih sedekad.
Baca juga: Meningkat 190.8%! 1.4 juta pelancong China masuk Malaysia, ini punca ramai datang