30 rakyat England bakal terima elaun RM9000 sebulan dari kerajaan, syaratnya sangat mengejutkan!
BAYANGKAN kalau anda boleh menerima wang percuma sehingga hampir RM3,000 setiap bulan, tanpa perlu berbuat apa-apa
Adakah anda akan terus bekerja atau menikmati hidup dengan wang percuma itu?
Itu antara persoalan yang cuba dirungkai penyelidik dari kumpulan pemikir, Autonomy melalui program rintis pendapatan asas sejagat (universal basic income – UBI) di England.
Dalam program tersebut, 30 peserta akan diberikan pendapatan 1,600 pound sterling (RM9,152.60) sebulan selama dua tahun tanpa apa-apa syarat. Peserta itu akan berada dalam pemerhatian Autonomy selama dua tahun bagi memahami kesan program tersebut terhadap kehidupan mereka.
Program itu bertujuan memahami dan menguji keberkesanan UBI dalam meningkatkan keterjaminan kewangan buat orang ramai, lebih-lebih pada era ketidaktentuan ekonomi kini.
Idea ini sudah lama dibincangkan. Idea asasnya boleh dijejak hingga abad ke-18 tetapi dalam beberapa tahun ini, semakin ramai yang mula mendesak pelaksanaannya.
Pada 2017, pakar sejarah dari Belanda, Rutger Bregman mencadangkan idea tersebut dalam syarahan Ted Talk. Sehingga hari ini, video tersebut telah mengumpul lebih empat juta tontonan.
Pandemik Covid-19 juga memesatkan perbincangan berkenaan idea pendapatan asas rakyat yang ditanggung kerajaan, malah mendapat sokongan para bilionair seperti Mark Zuckerberg, Elon Musk dan Richard Branson.
Bina asas
Cuma, apa yang ingin dilakukan di England sedikit berbeza. Jumlah yang ingin diberikan adalah lebih tinggi berbanding apa yang difahami sebagai “pendapatan asas”.
Untuk konteks, gaji minimum di United Kingdom (UK) ialah 10.42 pound sterling (RM59.61) sejam, bersamaan kira-kira 833.60 pound sterling (RM4,768.51) sebulan. Pendapatan bulanan yang ditawarkan dalam program ini adalah hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum.
“Jumlahnya besar. UBI biasanya meliputi keperluan asas seseorang tetapi kami mahu melihat apa kesan pemberian sekali gus tanpa syarat ini kepada kesihatan mental dan fizikal peserta, sama ada mereka memilih untuk bekerja atau tak,” kata Pengarah Autonomy, Will Stronge.
Menurut Stronge, keutamaan pihaknya adalah membina asas pembuktian dan libat urus awam untuk UBI supaya pelaksanaannya di peringkat kebangsaan kelak dipermudah.
“Masyarakat kita akan memerlukan pendapatan asas dalam beberapa tahun kelak, melihat kepada huru-hara perubahan iklim, gangguan teknologi serta peralihan industri yang mendatang,” katanya.
Buat perbandingan
Program tersebut – yang akan dilaksanakan jika Autonomy berjaya mengumpul dana mencukupi – mengambil tempat di dua lokasi, iaitu pekan Jarrow di timur laut England dan Finchley Timur di London yang mempunyai kos sara hidup lebih tinggi.
Selain 30 peserta yang akan menerima UBI, program itu juga akan melibatkan sekumpulan peserta lain yang tidak diberikan UBI. Pengalaman kelompok kawalan itu yang dipilih secara rawak dalam kalangan sukarelawan akan diteliti, juga selama dua tahun.
Menurut Stronge, pihaknya percaya program tersebut akan menunjukkan hasil yang positif.
“Semua bukti menunjukkan yang ia akan secara langsung menghapuskan kemiskinan dan memacu kesejahteraan berjuta manusia. Potensinya terlalu besar untuk tidak diendahkan.
“Dengan beberapa dekad ini dijangka penuh dengan kejutan ekonomi disebabkan perubahan iklim dan bentuk automasi baharu, pendapatan asas akan berperanan penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan,” katanya
BACA:
Gara-gara terlebih potong alat sulit masa berkhatan, kerajaan Malaysia kena saman RM3.1 juta