Seorang jurutera yang telah melawat lebih 15 negara atas urusan kerja dan melancong mujur dapat menghidu bahaya selepas diekori dua lelaki semasa berada di Jepun.
Mike Winchester seorang rakyat Malaysia berkongsikan pengalaman hampir ditipu oleh seorang gadis Jepun ketika sedang menikmati hidangan di sebuah restoran.
Jurutera syarikat cari gali minyak terkemuka itu berkata, pada masa kejadian, dia didatangi seorang gadis Jepun yang membawa keratan akhbar kepadanya.
“Kejadian berlaku pada Sabtu, 27 April semasa musim cuti panjang di Jepun yang dikenali sebagai Golden Week.
Gadis Jepun tersebut memberikan keratan akhbar kepada saya dan bertanyakan sama ada pernah ke Gunung Fuji atau tidak.
“Dia menawarkan khidmat untuk menemani saya ke lokasi tersebut. Ketika dalam perjalanan, dia menyatakan perlu singgah di kuil untuk melakukan upacara sembahyang sebelum meneruskan perjalanan,” ujarnya, lapor Mstar.
Beliau yang sering melancong sekitar rantau Asia Pasifik atas urusan kerja mula merasai keanehan selain menyedari kelibat dua lelaki yang mengekorinya dari restoran.
“Disebabkan saya rasa pelik dan sedar diikuti, saya nyatakan kepada gadis terbabit yang ada rakan ingin turut serta untuk ke Gunung Fuji.
“Susulan daripada itu, gadis terbabit memaklumkan dia tidak dapat menunggu dan perlu segera beredar.
“Dua individu yang mengikuti juga tidak kelihatan selepas gadis berkenaan berlalu,” katanya yang akan berada di Jepun selama satu hingga dua bulan.
Sehubungan itu, Mike berkongsikan 3 tip penting untuk mengembara solo:
Melancong secara cashless sekiranya boleh
Kebanyakan negara dan tempat pelancongan sudah menerima kad atau e-wallet.
Selain lebih selamat kerana tidak mempunyai tunai yang banyak di tangan, kita juga boleh jimat sedikit dalam perbezaan kadar pertukaran matawang.
Travel light
Apabila sudah siap mengemas barang yang ingin dibawa, cuba semak kembali dan kurangkan separuh kerana kebiasaannya kita tidak memerlukan barang-barang tersebut seperti lebihan pakaian.
Andai kata secara tiba-tiba tidak mencukupi, barang tersebut boleh sahaja dibeli di negara yang dikunjungi.
Lebihan ruang dalam bagasi itu pula boleh diisi dengan cenderamata.
Pengembara solo perlu peka keadaan sekeliling
Pastikan anda sentiasa peka serta berwaspada dengan situasi semasa di sekeliling.
Risiko atau bahaya mungkin akan datang secara tiba-tiba seperti kehadiran gadis scammer Jepun.
Paling penting anda tidak terlalu leka dengan telefon bimbit semasa berada di kawasan awam ya!