Hendak seribu daya, tak mahu seribu satu alasan. Namun, sepasang suami isteri ini membuktikan bahawa
mereka mampu menjual 200 bungkus mi goreng menggunakan resipi rahsia dalam masa hanya satu jam.
Apa yang membuat Mee Goreng Mamu Penang Style ini begitu istimewa? Dengan tiga pilihan rasa yang berbeza—Mee Goreng Biasa,
Mee Goreng Ayam, dan yang paling spesial, Mee Goreng Sotong—ianya memang patut dicuba!
Apa rahsia Mee Mamu sehingga ramai orang beratur untuk mendapatkan sepinggan mi?
Mungkin ramai yang tertanya-tanya kerana rasanya yang memang sangat sedap. Sebenarnya, mereka menggunakan resipi dari arwah ibu mereka yang berasal dari Georgetown. Resipi tersebut telah diwarisi turun-temurun sejak tahun 1970 dan kini diteruskan oleh mereka sejak tahun 2019.
Mee Mamu disediakan dengan gaya Penang yang terkenal. Semua orang tahu, makanan dari Penang memang mendapat sambutan hangat dari rakyat Malaysia serta pelancong luar negara.
Namun, perjalanan mereka tidak semudah yang disangka. Tiada perniagaan yang tidak melalui cabaran, termasuk mereka yang juga mengalami kesukaran sebelum dapat berdiri kukuh seperti sekarang.
Sebelum Mee Mamu, mereka pernah menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti biryani bukhari, kordial jus kismis, madu gingko, dan lain-lain. Malangnya, semua perniagaan tersebut kurang mendapat sambutan berbanding Mee Mamu. Mereka hampir putus asa ditambah dengan bebanan hutang dan keperluan susu anak-anak.
Permulaan mereka memproduksi Mee Mamu adalah pada tahun 2019, bermula dengan berniaga di tapak bazar yang paling hujung. “Pada mulanya sambutan memang agak mengecewakan, mungkin kerana khemah kami berada di hujung,” kata mereka.
Namun, berkat kesabaran dan usaha tanpa putus asa, dalam 10 hari terakhir mereka berjaya memperoleh keuntungan RM25k dan berjaya menjual 150 hingga 200 bungkus hanya dalam masa satu jam. “Kami fikir Allah memang sudah membuka jalan,” tambah mereka.
Mereka terus melangkah dengan menghadiri kelas-kelas perniagaan, dan gerai pertama mereka terletak di bawah pokok di depan Apartment Flora Paya Jaras. Pada masa itu, mereka berjaya menjual sebanyak 300 bungkus sehari. Dari hari ke hari, perniagaan semakin maju sehingga mereka berjaya melunaskan hutang sebanyak RM200k.
Walau bagaimanapun, mereka pernah membuka beberapa cawangan berbentuk restoran ‘ala-ala hipster’, tetapi terpaksa ditutup kerana faktor-faktor tertentu, terutama ketika negara dilanda Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ujian demi ujian tidak mematahkan semangat sepasang suami isteri ini. Kini, mereka telah bertapak di Medan Selera Seksyen 2, Shah Alam. Korang boleh datang setiap hari kecuali Jumaat dari 12 tengahari hingga 6.30 petang.
Jangan lupa untuk mencuba Mee Sotong mereka yang memang padu. Bagi yang tidak makan sotong atau alergi, jangan risau, mereka juga menyediakan Mee Ayam dan Mee Biasa
BACA: Meningkat 190.8%! 1.4 juta pelancong China masuk Malaysia, ini punca ramai datang