Kebanyakan suami isteri tentunya mengimpikan zuriat sebagai penyeri hidup mereka.
Namun, pasangan Angela dan Dennis Laffin terpaksa bersabar lebih lama apabila menghadapi masalah
kesuburan dan mengalami keguguran bayi sebanyak dua kali.
Oleh itu, mereka memutuskan untuk mengambil anak angkat dan mendaftarkan nama mereka dengan sebuah agensi kebajikan kanak-kanak.
2002 – Frank diambil sebagai anak angkat pertama
Pada tahun 2002, mereka bersetuju untuk menjaga seorang bayi lelaki bernama Frank yang ditinggalkan oleh penjaga kandungnya di kawasan tangga pusat jagaan.
Frank mengalami masalah alergi kulit yang menyebabkan kesukaran untuk tidur malam. Walaupun proses menjaga Frank tidak mudah, semangat mereka untuk memberikan kasih sayang yang secukupnya tidak pernah pudar.
2004 – Victoria diambil sebagai anak angkat kedua
Untuk fokus membesarkan Frank, Angela telah meminta pihak agensi untuk mengeluarkan nama mereka dari senarai penjaga yang mencari anak angkat. Namun, ketika itu, dia mendapat maklumat tentang seorang bayi perempuan bernama Victoria yang dijumpai di dalam sebuah tandas. Tanpa berbincang dengan suaminya, Angela yang teruja meluahkan hasratnya untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat kedua pada tahun 2004.
Victoria & Frank melakukan ujian DNA untuk mengetahui latar belakang mereka
Ketika membesar, Frank, 21, dan Victoria, 19, mempunyai hubungan yang sangat rapat dan tidak pernah merunsingkan kepala penjaga angkat mereka. Frank sangat melindungi Victoria seolah-olah adik kandungnya sendiri
. Tahun lalu, mereka berdua yang ingin mengetahui latar belakang diri mereka sepakat untuk melakukan ujian DNA.
Rupa-rupanya dua adik beradik angkat adalah adik beradik kandung
Keputusan ujian DNA yang diperoleh membawa berita mengejutkan. Frank dan Victoria yang selama ini dibesarkan sebagai anak angkat rupa-rupanya adalah adik beradik kandung.
Ramai orang telah menegur persamaan wajah mereka, khususnya dari segi senyuman dan bentuk hidung. Namun, mereka tidak tahu bahawa mereka lahir dari rahim yang sama. Fakta ini tidak menggugat kebahagiaan keluarga mereka, sebaliknya diraikan dengan penuh kegembiraan.