11 kerusi gagal sepakat, BN bertembung PN

11 kerusi gagal sepakat, BN bertembung PN

Dengan proses penamaan calon untuk pilihan raya negeri hanya kira-kira 10 jam lagi, Perikatan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan BN masih menemui jalan buntu dalam menentukan calon di 11 kerusi DUN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN terbang ke Kota Kinabalu pagi ini untuk cuba mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, pertemuan Muhyiddin selama 90 minit bersama lebih 20 pemimpin daripada BN, PN dan PBS di sebuah hotel di Kota Kinabalu itu tidak membuahkan hasil.

Selepas pertemuan itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semuanya baik-baik belaka, berkata PN, BN dan PBS telah mencapai “kata sepakat” dan tidak akan meletakkan calon berlawan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, pemimpin parti komponen BN, PBS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyatakan sebaliknya dan tidak akan menarik calon mereka.

“Sangat tidak mungkin (menarik diri) kerana itu adalah kerusi kami… Pada PRU lalu, pengundi memilih BN,” kata Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup (gambar, bawah) kepada pemberita selepas pertemuan itu.

PBRS merancang meletakkan lima calon, termasuk di DUN Sook, yang dimenangi parti itu pada pilihan raya 2018.

Penyandang kerusi Sook berpaling tadah menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pada akhir 2018 dan beliau turut merancang mempertahankan kerusinya.

Lebih-lebih lagi, terdapat pertindihan tuntutan antara parti-parti itu terhadap lima DUN yang dikehendaki PBRS itu.

Kurup berkata BN lebih dikenali oleh pengundi di DUN berkenaan, maka mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang.

Jelasnya, PBS dan Star yang membuat tuntutan – dan masing-masing menggunakan logo PBS dan PN – perlu memberi laluan.

Timbalan Presiden PBS Radin Malleh (gambar, bawah) memberitahu wartawan selepas pertemuan itu bahawa partinya tegas menuntut 15 kerusi DUN.

Pada sidang media berasingan kemudian, Radin menjelaskan PBS telah mengurangkan tuntutan mereka dari 25 kerusi sebelum ini.

Katanya, oleh itu PBS tidak dapat mengurangkan lagi jumlah kerusi yang ditandingi calon mereka.

“Nampaknya ada beberapa calon atau parti yang benar-benar mahu bertanding dan berpendapat bahawa mereka lebih kuat di kawasan tersebut.

“Kami tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghentikan mereka,” katanya.

Zahid: Lancar manifesto, Aku Janji bersama di Hari M’sia

Walaupun pertembungan antara sekutu tidak dapat dielakkan, Radin berkata partinya tetap optimis kerana jumlah tuntutan kerusi bertindih “tidak banyak”.

Walaupun sebilangan parti dalam gabungan ini perlu bertembung sesama sendiri ketika pilihan raya, semua parti pada prinsipnya telah bersetuju untuk menggunakan manifesto yang sama atau “Aku Janji” pada Hari Malaysia yang jatuh pada hari kelima kempen.

Zahid ketika mengumumkan hal ini, berkata “Aku Janji” itu lambang penyatuan dan muafakat antara PN, BN dan PBS.

“Aku Janji itu tawaran baru untuk Sabah terutama pengundi-pengundi dan persetujuan bersama parti-parti ini akan dimuktamadkan,” kata presiden Umno itu.

Bagaimanapun, tidak semua parti politik berhasrat memiliki manifesto bersama.

PBS, misalnya berkata akan memeriksa kandungan dokumen ‘Aku Janji’ tersebut sebelum menyokongnya.

Sementara itu, PBS melancarkan manifestonya sendiri hari ini, antara lainnya menjanjikan undang-undang untuk mencegah wakil rakyat berpaling tadah (melompat parti), melaksanakan kad pengenalan Sabah untuk membendung kegiatan merentas sempadan cara haram dan mengembalikan had dua penggal untuk yang di-pertua negeri.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/542288

COMMENTS