Harga satu Bitcoin dilaporkan telah mencapai paras USD100,000 buat pertama kalinya pada malam Rabu, menurut laporan Business Insider.
Nilai mata wang kripto tersebut terus menunjukkan trend peningkatan, berjaya melepasi angka tersebut
Dan kini berlegar sekitar USD100,000 hingga USD103,000 pada pagi ini.
Kejayaan Bitcoin mencapai angka tersebut dipercayai disebabkan oleh sentimen positif dalam kalangan pelabur mata wang kripto yang berterusan,
Terutamanya selepas kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Bitcoin didagangkan pada kira-kira USD100,400 pada pukul 9.30 malam semalam dan sempat mencecah USD103,000 pada pagi keesokan harinya.
Menurut Business Insider, Bitcoin hampir mencapai paras USD100,000 pada bulan lalu, namun nilainya jatuh semula akibat aktiviti pengambilan keuntungan oleh pelabur.
Bitcoin akhirnya mencatatkan rekod baru pada Rabu apabila berjaya melepasi angka tersebut, yang sebelum ini menjadi halangan psikologi bagi mata wang kripto tersebut.
Pemerhati pasaran berpendapat Bitcoin berpotensi untuk terus meningkat pada masa hadapan. Sebelum ini, Bitcoin didagangkan pada paras USD70,000 pada hari Pilihan Raya Presiden AS dan terus melonjak setelah Trump diumumkan sebagai pemenang.
Penganalisis dari Standard Chartered meramalkan nilai Bitcoin boleh meningkat mencecah USD125,000 menjelang hujung tahun ini, sementara seorang penganalisis dari Piper Sandler meramalkan nilainya boleh mencapai USD130,000 dalam tempoh yang sama.
Di samping itu, Pengerusi MicroStrategy dan pelabur Bitcoin, Michael Saylor, berkata ramalan jangka panjang menunjukkan Bitcoin berpotensi mencapai nilai setinggi USD13 juta menjelang 2045.
Dalam perkembangan terbaru, Donald Trump dilaporkan telah mencalonkan Paul Atkin untuk mengetuai Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat. Pencalonan ini memberikan keyakinan tinggi kepada pelabur kripto kerana Paul dikenali sebagai penyokong kuat mata wang kripto.
Paul juga pernah menjadi Pengerusi Bersama Pakatan Token Dewan Perniagaan Digital, sebuah inisiatif yang memimpin sektor tersebut.
Jika pencalonan ini disahkan, Paul akan menggantikan Gary Gensler, yang dikenali dengan pendekatannya yang lebih agresif dalam mengawasi sektor kripto.